Sunday, October 1, 2017

Adiguru Kraf Pua , Puan Bangie a/k Embol



Adiguru Kraf Pua

Sarawak terkenal dengan seni kraf tenunan pua kumbu dan salah seorang tukang tenun yang gah namanya dalam bidang ini ialah Bangie a/k Embol. Beliau dilahirkan pada tahun 1945 dan mewarisi kemahiran menenun pua sejak usia remaja lagi. Minat yang mendalam serta kemahiran yang tinggi telah mendorong beliau mereka cipta corak dan motif yang mempunyai nilai-nilai estetika tersendiri. Antara motif-motif tenunan pua beliau adalah Bunga Rang Jugah, Bunga Buah Sepuyong dan Bunga Bali Malikut. Kelainan kain pua tenunan beliau adalah pada ragam hias yang dihasilkan. Setiap kehendak pelanggan diterjemah ke dalam rekaan yang kadang kala menggabungkan reka corak tradisional dan kontemporari.

Kepakaran beliau menenun pua ini telah membawanya menjelajah ke luar negara bagi mempromosi dan mempamerkan seni kraf tenunan etnik Sarawak. Antara pameran luar negara yang pernah disertai beliau adalah seperti di Sweden, Paris, Bangkok, Manila dan Singapura. Pada tahun 1998 beliau memenangi tempat pertama bagi kategori kraf dalam pertandingan Natural Dye Weaving anjuran United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO). Lain-lain pertandingan yang disertai adalah pertandingan WICITRA (1990) anjuran Kraftangan Malaysia dan pertandingan The State Wide Pua Kumbu (1998) anjuran Tun Jugah Foundation.

Bagi memastikan seni tenunan pua terus terpelihara dan berkembang, beliau menjadi juru tunjuk khususnya kepada generasi muda. Beberapa siri bengkel, kursus dan kelas bimbingan dikendalikan dengan kerjasama Kraftangan Malaysia dan juga beberapa pertubuhan tempatan seperti Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Sarakup Dayak Iban Association (SADIA) Pampang. Beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Tenun Pua pada tahun 2000 oleh Kraftangan Malaysia.

Kepimpinan dan Ketokohan Puan Bangie


Puan Bangie telah melibatkan diri dalam bidang seni Tenunan Pua lebih kurang 40 tahun. Mewarisi seni kemahiran dari kedua ibubapanya sejak remaja lagi dan kini diwariskan kepada dua orang anak perempuannya agar seni warisan keluarga kekal oleh keturunannya. Beliau tidak pernah mendapat pendidikan formal di sekolah tetapi hasil didikan dan pengajaran ilmu kemahiran yang diterima dari ibu bapanya, Puan Bangie merupakan antara tokoh yang berjaya dalam bidang seni kraf Tenunan Pua.

Tiga perkara yang menjadi pendorong kepada beliau supaya meneruskan seni tenunan tradisi ini iaitu:

  • Tenunan pua merupakan tenunan warisan yang perlu dipertahankan agar terus berkembang.
  • Beliau ingin menjadi penenun pua yang cemerlang dan terbilang.
  • Beliau ingin memartabatkan seni kemahiran masyarakat Iban.

Semangat kepimpinannya untuk melihat seni warisan kraf dipelihara dan diwarisi oleh anak-anak tempatan, pencinta seni dan individu luar menyebabkan beliau sanggup mengadakan bengkel, kursus dan latihan kepada mereka yang ingin mempelajarinya. Hasilnya, terdapat anak didiknya yang mahir dalam bidang menenun.

Mempunyai daya kreativiti dalam teknik tenunan, reka corak atau motif dan kekemasan pada setiap kain pua yang beliau hasilkan. Beliau berkemahiran mencipta reka corak serta motif yang indah dan mempunyai nilai-nilai estetika yang tersendiri. Antara motif tenunan pua yang dihasilkan seperti bunga rang jugah, bunga buah sepuyong dan bunga bali malikut.

Beliau juga berupaya menterjemahkan rekaan pelanggan melalui tenunan pua. Di samping motif-motif tradisional, beliau turut mereka motif-motif kontemporari yang dapat memenuhi cita rasa pelanggan yang terdiri daripada masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Kebiasaannya beliau menggunakan benang kapas dalam Tenunan Pua. Kini beliau turut menggunakan benang sutera bagi memenuhi permintaan pelanggan dan pasaran. Selain daripada itu, beliau turut menggunakan pewarnaan semula jadi dalam kerja-kerja menenun. Namun demikian beliau lebih banyak menggunakan warna sintetik yang mudah didapati.

Beliau menghasilkan kain Pua Kumbu untuk pakaian atau dijadikan hiasan dalaman.

Pengalaman, Penglibatan dan Sumbangan Puan Bangi dalam Bidang Kraf Tenunan Pua. Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang seni Tenunan Pua, pelbagai aktiviti dan program yang dianjurkan oleh agensi kerajaan dan swasta disertainya tanpa sebarang alasan dengan niat untuk memperkenalkan Tenunan Pua di persada antarabangsa.

Mempromosi Tenunan Pua di dalam dan luar negara.
  • Menyertai demonstrasi Tenunan Pua di Pameran Pua Kumbu di Ethnographis Museum, Sweden pada tahun 1999.
  • Menyertai pameran dan demonstrasi di Paris, Bangkok, Manila dan Singapura.
  • Kepakaran dan kemahirannya dalam menenun serta mereka corak tenun pua telah menarik perhatian masyarakat setempat, masyarakat luar dan pelancong luar untuk memiliki hasil kerja tangannya.
  • Pada tahun 2000, beliau dilantik sebagai Adiguru Kraf Tenun Pua oleh Kraftangan Malaysia.
  • Pada tahun 1998, beliau telah menyertai :
  • Pertandingan Penggunaan Warna Asli Dalam Tenun Ikat (Pua) anjuran UNESCO di Bangkok dan menangi hadiah pertama .
  • Pertandingan Pua Kumbu anjuran Yayasan Tun Jugah.
  • Pertandingan Kraftangan Peringkat Negeri Sarawak anjuran Sarawak Craft Council.
  • Pada tahun 1990 beliau juga menyertai pertandingan WICITRA anjuran Kraftangan Malaysia.

Sumbangan
Bagi memastikan seni warisan ini di warisi oleh generasi seterusnya beliau telah memberi tunjuk ajar kepada anak-anak tempatan melalui bengkel, kursus dan kelas bimbingan yang diadakannya.

Menjadi jurutunjuk :
Kelas Tenunan Pua anjuran Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Sarakup Dayak Iban Association (SADIA) Pampang (1994-1995)




Adiguru Kraf Tenunan Songket Sarawak Puan Dayang Norsalam Binti Pengiran Parsih


Maksud Aduguru Kraf
Adiguru Kraf merujuk kepada mereka yang mahir dalam bidang kraf tradisional. Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Sarawak berhasrat melahirkan ramai adiguru kraf. Mereka akan melatih ramai usahawan tempatan yang bergiat dalam industri kraftangan untuk berkembang lebih maju.

Sehingga 2010, adiguru yang dikenal pasti di Negeri Sarawak ialah :
  1. Dayang Norsalam Pengiran Parsih - Songket Rejang. Bekiau merupakan Adiguru Kraf Tenunan Songket Sarawak 1985.
  2. Banggie anak Embol - Tenunan pua. Beliau Adiguru Kraf 2000.
  3.  Andah anak Lembang - Pasu Iban. Beliau Adiguru Pasu Iban tahun 2006 .



Adiguru Kraf Tenunan Songket Sarawak Puan Dayang Norsalam Binti Pengiran Parsih

Hajah Dayang Norsalam binti Pengiran Parsih yang berkemahiran menenun Songket Sarawak dilahirkan pada 4 Ogos 1943 di Kampung Dewan Rejang, Belawai, Sarawak. Beliau telah mewarisi kemahiran menenun ini daripada ibunya Puan Lui Majeni binti Tiong yang merupakan seorang penenun songket yang terkenal di daerah Belawai, Sarawak.

Hajah Dayang Norsalam mengambil inisiatif menambah baik hasil kerja tangannya dengan memperbaharui reka corak songket yang secara tidak langsung menjadi identiti kepada kain songket Sarawak. Antara reka corak yang sering digunakan adalah seperti Pucuk Rebung, Bunga Mawar, Tampok Pedada, Corak Emak Rebung, Bunga Cabit, Koyak Tersusun, Bunga Semalu dan Bunga Cengkih.
Hajah Dayang Norsalam sering dijemput untuk menjadi tenaga pengajar dan pakar rujuk dari dalam dan luar negara dalam usaha memartabatkan seni kraf tempatan. Sokongan dan kerjasama dari beberapa agensi serta individu menguatkan lagi semangat beliau untuk terus memulih dan memelihara seni kraf warisan ini. Pada tahun 1995 Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Songket Sarawak.

Kepimpinan dan Ketokohan Dayang Norsalam Adiguru Tenunan Songket Sarawak

  • Dilahirkan di Sarikei Sarawak dan mewarisi kemahiran menenun songket daripada keluarganya. Pernah menerima pendidikan formal namun minat yang dalam bidang tenunan songket lebih kuat mempengaruhi beliau.
  • Kemahiran yang beliau perolehi adalah daripada ibunya Puan Lui Majeni Binti Tiong.
  • Beliau juga membuat demonstrasi teknik Tenunan Songket Sarawak kepada yang berminat.
  • Beliau memimpin generasi muda tempatan mengendalikan projek menenun songket dan secara tidak langsung membantu meningkatkan pendapatan mereka.
  • Beliau mahir menghasilkan reka corak songket yang secara tidak langsung menjadi identiti kepada kain songket Sarawak. Antara reka corak yang digemari seperti pucuk rebung, bunga mawar, tampok pedada, corak emak rebung, bunga cabit, koyak tersusun, bunga semalu dan bunga cengkeh.
  • Beliau menghasilkan sampin dan kain sarung. Beliau turut menerima tempahan dari golongan atasan, istana dan juga individu yang berminat. Bagi menyiapkan sehelai kain beliau mengambil masa selama satu bulan.
  • Beliau seorang yang pakar dalam bidang Tenunan Songket Sarawak ini dan telah banyak membuat demonstrasi kepada masyarakat tempatan, persatuan-persatuan, agensi-agensi kerajaan dan swasta, orang perseorangan dan juga pelatih-pelatih Kraftangan Malaysia.
  • Beliau juga pernah mengikuti beberapa pertandingan peringkat Negeri dan Kebangsaan. Beliau mendapat tempat kedua (Gerak Desa Wawasan) dan saguhati (Ilham Desa di Kuala Lumpur).

Beliau juga telah dimasukkan ke dalam Program Perantisan Kraf Warisan bidang Tenunan Songket Bahagian Pembangunan Usahawan Kraf bermula pada tahun 2006.
Beliau melatih peserta baru di bawah program tersebut iaitu :
  • 4 Julai 2006-31 Mei 2007 (10 Bulan) melibatkan 5 orang peserta
  • 16 Julai 2007-31 Disember 2007 melibatkan 5 orang peserta
  • 1 Mac 2008-31 Julai 2008 melibatkan 2 orang peserta.
  • Beliau diberi kepercayaan mengendalikan bengkel tenunan songket dengan memberi tunjuk ajar kepada penenun-penenun muda.
  • Beliau turut memberi latihan kepada anggota kerja Kraftangan Malaysia.
  • Sumbangan beliau ini telah mendapat perhatian oleh Kraftangan Malaysia dengan melantik beliau sebagai Adguru Kraf Songket Sarawak pada tahun 1995.
  • Selain itu juga, beliau pernah menjadi tenaga pengajar di Felda Negeri Pahang untuk mengajar Teknik Sembunyi Benang kepada penenun di Felda. Seramai 12 orang peserta telah mengikuti program tersebut.