Tuesday, October 12, 2021

ABDULLAH MUDA ADIGURU KRAF BOT TRADISIONAL

 ADIGURU ABDULLAH MUDA

Persekitaran rumah yang berhampiran dengan sungai dan laut menimbulkan minat dan penglibatan di dalam aktiviti air.Sejak remaja iaitu selepas tamat persekolahan, Haji Abdullah telah terlibat secara langsung membuat bot bermula dengan kerja sebagai pembantu. Dorongan keluarga sendiri, mertua dan rakan memberi semangat untuk menceburi bidang ini sepenuh masa.

Kebiasannya Haji Abdullah membuat bot jenis Payang dan Kolek yang merupakan bot yang banyak menerima tempahan khususnya untuk kegunaan nelayan dan pengangkutan air. Selain itu ada juga bot jenis Sekuci, Bedar dan Gelibat. Perbezaan jenis bot adalah berdasarkan bentuk dan kegunaannya.

Kualiti hasil kerja pada masa dahulu dengan sekarang tidak banyak beza kerana bahan yang digunakan adalah kayu yang terbaik dan secara tradisional. Bot yang dijaga dengan baik boleh bertahan sehingga 50 tahun. Bezanya, dahulu bot dipasang dengan “lunas” yang kecil kerana tidak menggunakan enjin manakala bot masa kini dipasang “lunas” yang besar supaya kukuh walaupun ada gegeran enjin bot.

Haji Abdullah tiada halangan memberikan ilmu dan pengalamannya kepada masyarakat tempatan mahupun institutsi pengajian. Selain pekerja beliau yang dilatih sehingga cekap, terdapat juga pelatih yang dibiayai oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Terengganu untuk menimba ilmu pengetahuan membuat bot. Semua proses kerja dan latihan dijalankan di bengkel beliau di Pulau Duyung. Hanya seorang daripada enam anak beliau iaitu Encik Khairul Azuar yang mewarisi kemahiran kraf ini.

Bengkel khas berhampiran rumah beliau menjadi tempat membuat bot. Kedudukannya yang terletak di tepi sungai sangat sesuai untuk melancarkan bot ke air setelah siap. Ruang yang besar dan berbumbung boleh menempatkan empat buah bot pada satu-satu masa dan agak selesa tanpa tergendala apabila musim hujan.

PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

Mewarisi bakat datuknya yang juga pengusaha bot terawal di Pulau Duyung. Haji Abdullah juga mengikuti latihan pembuatan setengah abad yang lalu. Selain tokoh kraf ini, tiga lagi ahli keluarganya turut terlibat di dalam pembuatan bot.

Latihan dan pengalaman yang diperolehi dari kerjayanya pada akhir tahun 50-an memberi kekuatan untuk mengusahakan sendiri pembuatan bot, bermula dengan bot yang berukuran kecil. Semakin hari kemahiran beliau bertambah dengan berupaya menghasilkan pelbagai jenis dan saiz bot tradisional serta kapal layar.

Melihat kepada potensi perusahaan bot beberapa agensi seperti KEKKWA, MARA dan Kerajaan Negeri Terengganu turut membantu memajukan kesenian tradisional yang beliau warisi.

Kemahiran serta kepakaran beliau sering mendapat liputan surat khabar dan majalah tempatan dan luar ngara. Memang wajarlah beliau menerima Anugerah Kesenian Negeri Terengganu 2006 yang diampaikan oleh pihak kerajaan.

Kemasyhuran bot buatan Haji Abdullah telah disebarkan melalui media cetak dan elektronik. Contohnya pihak Radio, Televisyen Malaysia (RTM), Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan Astro pernah menyiarkan berita mengenai kehebatan seni kraf bot khususnya mengenai bengkel bot dan personaliti beliau. Tidak kurang juga artikel di dalam negeri.

Selain mendapat pengiktirafan sebagai Adiguru Kraf Pembuatan Bot Tradisional, beliau juga telah memperoleh pengiktirafan Ijazah Doktor Kehormat Teknologi Kemahiran Warisan dari Universiti Kuala Lumpur yang membawa gelaran Doktor.

Bot biasa dihasilkan untuk berbagai kegunaan penempahnya. Kesukaran dihadapi sekarang ialah kenaikan harga kayu cengal yang mencecah hampir RM8 ribu per tan dan hasil tangkapan nelayan semakin merosot menyebabkan tempahan bot juga semakin berkurangan.

Setakat ini Haji Abdullah telah menyiapkan tempahan kapal layar daripada penempah luar Negara seperti Singapura, Algeria, Australia, Denmark, England, Italia, New Zealand, Kanada, Amerika Syarikat dan Perancis.

Bot-bot disiapkan di antara empat bulan hingga dua tahun bergantung kepada saiz dan pelan yang diberikan. Penghasilan terbaik ialah pada tahun 1980, kejayaan menyiapkan tempahan dari rakyat Amerika yang membawa pelan bot berukuran 52 kaki x 16 kaki sebagaimana yang terdapat di Muzium Alaska, USA.

Pembuatan bot hanya dilakukan sekiranya ada tempahan dan tiada stok untuk dijual secara terus kerana kos yang tinggi. Harga bot kecil dari RM 60 ribu hingga bot besar yang berharga mencecah jutaan ringgit dan bukanlah langkah yang baik untuk melabur modal sebegitu besar kerana penempah mempunyai citarasa sendiri.

Penempah datang sendiri berjumpa Haji Abdullah kerana mereka telah melihat tidak kurang 20 buah bot buatan beliau yang terdapat di seluruh pelusuk dunia sejak tahun 1965 iaitu mulanya melalui tempahan dari Singapura dan diikuti pula oleh rakyat negara lain.

KEMAHIRAN DIPEROLEHI

Persekitaran rumah yang berhampiran dengan sungai dan laut di samping kerjaya bapa beliau sebagai seorang tukang bot telah mendorong minat Haji Abdullah bin Muda mewarisi kerjaya datuknya sebagai tukang bot yang terkemuka. Selepas tamat persekolahan, Haji Abdullah telah terlibat secara langsung membuat bot bermula dengan kerja sebagai pembantu. Dorongan keluarga sendiri, mertua dan rakan memberi semangat kepada beliau untuk menceburi bidang ini sepenuh masa.

Kemahiran serta kepakaran beliau sering mendapat liputan surat khabar dan majalah tempatan dan luar negara. Memang wajarlah beliau menerima Anugerah Kesenian Negeri Terengganu 2006. Kemasyhuran bot buatan Haji Abdullah telah disebarkan melalui media cetak dan elektronik. Haji Abdullah tidak lokek ilmu dan pengalamannya kepada masyarakat tempatan mahupun institusi pengajian. Selain pekerja beliau yang dilatih sehingga cekap, beliau juga berkongsi ilmu dengan kumpulan pelatih yang dibiayai oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Terengganu. Semua proses kerja dan latihan dijalankan di bengkel beliau di Pulau Duyung, Terengganu.

Haji Abdullah telah menyiapkan tempahan kapal layar daripada pelanggan luar negara seperti Singapura, Algeria, Australia, Denmark, England, Itali, New Zealand, Kanada, Amerika Syarikat dan Perancis. Penghasilan terbaik beliau ialah kejayaan menyiapkan tempahan bot berukuran 52 kaki x 16 kaki daripada rakyat Amerika Syarikat sebagaimana yang terdapat di Muzium Alaska, Amerika Syarikat pada tahun 1980. Kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan beliau telah melayakkan beliau dilantik sebagai Adiguru Kraf Bot Tradisional oleh Kraftangan Malaysia pada tahun 2006.

 

No comments:

Post a Comment