Tuesday, October 12, 2021

ABDULLAH MUDA ADIGURU KRAF BOT TRADISIONAL

 ADIGURU ABDULLAH MUDA

Persekitaran rumah yang berhampiran dengan sungai dan laut menimbulkan minat dan penglibatan di dalam aktiviti air.Sejak remaja iaitu selepas tamat persekolahan, Haji Abdullah telah terlibat secara langsung membuat bot bermula dengan kerja sebagai pembantu. Dorongan keluarga sendiri, mertua dan rakan memberi semangat untuk menceburi bidang ini sepenuh masa.

Kebiasannya Haji Abdullah membuat bot jenis Payang dan Kolek yang merupakan bot yang banyak menerima tempahan khususnya untuk kegunaan nelayan dan pengangkutan air. Selain itu ada juga bot jenis Sekuci, Bedar dan Gelibat. Perbezaan jenis bot adalah berdasarkan bentuk dan kegunaannya.

Kualiti hasil kerja pada masa dahulu dengan sekarang tidak banyak beza kerana bahan yang digunakan adalah kayu yang terbaik dan secara tradisional. Bot yang dijaga dengan baik boleh bertahan sehingga 50 tahun. Bezanya, dahulu bot dipasang dengan “lunas” yang kecil kerana tidak menggunakan enjin manakala bot masa kini dipasang “lunas” yang besar supaya kukuh walaupun ada gegeran enjin bot.

Haji Abdullah tiada halangan memberikan ilmu dan pengalamannya kepada masyarakat tempatan mahupun institutsi pengajian. Selain pekerja beliau yang dilatih sehingga cekap, terdapat juga pelatih yang dibiayai oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Terengganu untuk menimba ilmu pengetahuan membuat bot. Semua proses kerja dan latihan dijalankan di bengkel beliau di Pulau Duyung. Hanya seorang daripada enam anak beliau iaitu Encik Khairul Azuar yang mewarisi kemahiran kraf ini.

Bengkel khas berhampiran rumah beliau menjadi tempat membuat bot. Kedudukannya yang terletak di tepi sungai sangat sesuai untuk melancarkan bot ke air setelah siap. Ruang yang besar dan berbumbung boleh menempatkan empat buah bot pada satu-satu masa dan agak selesa tanpa tergendala apabila musim hujan.

PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

Mewarisi bakat datuknya yang juga pengusaha bot terawal di Pulau Duyung. Haji Abdullah juga mengikuti latihan pembuatan setengah abad yang lalu. Selain tokoh kraf ini, tiga lagi ahli keluarganya turut terlibat di dalam pembuatan bot.

Latihan dan pengalaman yang diperolehi dari kerjayanya pada akhir tahun 50-an memberi kekuatan untuk mengusahakan sendiri pembuatan bot, bermula dengan bot yang berukuran kecil. Semakin hari kemahiran beliau bertambah dengan berupaya menghasilkan pelbagai jenis dan saiz bot tradisional serta kapal layar.

Melihat kepada potensi perusahaan bot beberapa agensi seperti KEKKWA, MARA dan Kerajaan Negeri Terengganu turut membantu memajukan kesenian tradisional yang beliau warisi.

Kemahiran serta kepakaran beliau sering mendapat liputan surat khabar dan majalah tempatan dan luar ngara. Memang wajarlah beliau menerima Anugerah Kesenian Negeri Terengganu 2006 yang diampaikan oleh pihak kerajaan.

Kemasyhuran bot buatan Haji Abdullah telah disebarkan melalui media cetak dan elektronik. Contohnya pihak Radio, Televisyen Malaysia (RTM), Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan Astro pernah menyiarkan berita mengenai kehebatan seni kraf bot khususnya mengenai bengkel bot dan personaliti beliau. Tidak kurang juga artikel di dalam negeri.

Selain mendapat pengiktirafan sebagai Adiguru Kraf Pembuatan Bot Tradisional, beliau juga telah memperoleh pengiktirafan Ijazah Doktor Kehormat Teknologi Kemahiran Warisan dari Universiti Kuala Lumpur yang membawa gelaran Doktor.

Bot biasa dihasilkan untuk berbagai kegunaan penempahnya. Kesukaran dihadapi sekarang ialah kenaikan harga kayu cengal yang mencecah hampir RM8 ribu per tan dan hasil tangkapan nelayan semakin merosot menyebabkan tempahan bot juga semakin berkurangan.

Setakat ini Haji Abdullah telah menyiapkan tempahan kapal layar daripada penempah luar Negara seperti Singapura, Algeria, Australia, Denmark, England, Italia, New Zealand, Kanada, Amerika Syarikat dan Perancis.

Bot-bot disiapkan di antara empat bulan hingga dua tahun bergantung kepada saiz dan pelan yang diberikan. Penghasilan terbaik ialah pada tahun 1980, kejayaan menyiapkan tempahan dari rakyat Amerika yang membawa pelan bot berukuran 52 kaki x 16 kaki sebagaimana yang terdapat di Muzium Alaska, USA.

Pembuatan bot hanya dilakukan sekiranya ada tempahan dan tiada stok untuk dijual secara terus kerana kos yang tinggi. Harga bot kecil dari RM 60 ribu hingga bot besar yang berharga mencecah jutaan ringgit dan bukanlah langkah yang baik untuk melabur modal sebegitu besar kerana penempah mempunyai citarasa sendiri.

Penempah datang sendiri berjumpa Haji Abdullah kerana mereka telah melihat tidak kurang 20 buah bot buatan beliau yang terdapat di seluruh pelusuk dunia sejak tahun 1965 iaitu mulanya melalui tempahan dari Singapura dan diikuti pula oleh rakyat negara lain.

KEMAHIRAN DIPEROLEHI

Persekitaran rumah yang berhampiran dengan sungai dan laut di samping kerjaya bapa beliau sebagai seorang tukang bot telah mendorong minat Haji Abdullah bin Muda mewarisi kerjaya datuknya sebagai tukang bot yang terkemuka. Selepas tamat persekolahan, Haji Abdullah telah terlibat secara langsung membuat bot bermula dengan kerja sebagai pembantu. Dorongan keluarga sendiri, mertua dan rakan memberi semangat kepada beliau untuk menceburi bidang ini sepenuh masa.

Kemahiran serta kepakaran beliau sering mendapat liputan surat khabar dan majalah tempatan dan luar negara. Memang wajarlah beliau menerima Anugerah Kesenian Negeri Terengganu 2006. Kemasyhuran bot buatan Haji Abdullah telah disebarkan melalui media cetak dan elektronik. Haji Abdullah tidak lokek ilmu dan pengalamannya kepada masyarakat tempatan mahupun institusi pengajian. Selain pekerja beliau yang dilatih sehingga cekap, beliau juga berkongsi ilmu dengan kumpulan pelatih yang dibiayai oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Terengganu. Semua proses kerja dan latihan dijalankan di bengkel beliau di Pulau Duyung, Terengganu.

Haji Abdullah telah menyiapkan tempahan kapal layar daripada pelanggan luar negara seperti Singapura, Algeria, Australia, Denmark, England, Itali, New Zealand, Kanada, Amerika Syarikat dan Perancis. Penghasilan terbaik beliau ialah kejayaan menyiapkan tempahan bot berukuran 52 kaki x 16 kaki daripada rakyat Amerika Syarikat sebagaimana yang terdapat di Muzium Alaska, Amerika Syarikat pada tahun 1980. Kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan beliau telah melayakkan beliau dilantik sebagai Adiguru Kraf Bot Tradisional oleh Kraftangan Malaysia pada tahun 2006.

 

HAJI AB. MANAN HAJI YAKUB ADIGURU KRAF PERAK

ADIGURU HAJI AB. MANAN BIN HAJI YAKUB

Haji Ab. Manan bin Haji Yakub atau lebih dikenali sebagai Pok Teh adalah anak jati Kampung Sireh Kota Bharu, Kelantan yang merupakan kawasan utama pertukangan perak sejak dahulu lagi. Beliau yang dilahirkan pada 10 Jun 1944, mula didedahkan dengan kerja-kerja pertukangan perak ketika berusia seawal 7 tahun. Bermula seawal usia 14 tahun, beliau mula serius mendalami kemahiran pertukangan perak daripada bapanya.

Menjelang awal tahun 1980-an, beliau giat mengusahakan seni pertukangan perak melalui beberapa agensi dan pertubuhan seperti Kelantan Malay Arts, Koperasi Kampung Morak, Kraftangan Malaysia dan muzium-muzium. Selain aktif mengusahakan perusahaannya, beliau juga turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di sekitar Kota Bharu, Kelantan.

Kemahiran beliau menghasilkan barangan perak kasar dan perhiasan diri melalui pelbagai teknik seperti tuangan menggunakan tulang sotong, pintalan dawai perak (filigree), pahat dan pelbagai teknik lain melayakkan beliau dilantik sebagai Tukang Kraf Istana Kelantan. Antara koleksi barangan perak karya milik Istana Kelantan yang telah dihasilkan ialah Payung Adat Istiadat, Kepala Logo Kenderaan Istana dan Cokmar Diraja selain tempahan membuat cokmar dari Institut Pengajian Tinggi dan Dewan Undangan Negeri.

Dari segi pemasaran, syarikat beliau iaitu Syarikat KB Permai aktif menyertai program-program promosi jualan anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada saban tahun seperti Hari Kraf Kebangsaan, Promosi Kraf Langkawi, Promosi Kerja Kahwin, Promosi Kraf Malaysia dan banyak lagi. Paling membanggakan, hasil karya barangan beliau telah dipilih untuk dipasarkan di gedung membeli belah ternama Harrods, London. Penglibatan beliau dalam industri kraf turut mendapat liputan media yang meluas melalui media cetak dan elekronik.

Pada tahun 2008, beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Perak oleh Kraftangan Malaysia selain Anugerah Industri Pelancongan Negeri Kelantan mengikut kategori produk kraf tempatan oleh kerajaan negeri. Selain itu, beliau juga pernah menerima Anugerah Usahawan Seni Kraf Bidang Perak dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada tahun 2007. Beliau yang telah dijemput Illahi pada 1 Januari 2011 telah dianugerahkan Tokoh Kraf Negara pada tahun yang sama.

Kepimpinan dan Ketokohan / Expertise and Leadership
Menjelang awal tahun 1980-an, Pok Teh giat mengusahakan seni pertukangan perak melalui beberapa agensi dan pertubuhan seperti Kelantan Malay Arts, Koperasi Kampung Morak, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan muzium-muzium. Selain aktif mengusahakan perusahaannya, Pok Teh juga turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di sekitar Kota Bharu, Kelantan. Usaha dan kesungguhan Pok Teh mula membuahkan hasil dengan tertubuhnya Syarikat KB Permai yang ditubuhkan pada tahun 1985. Kini, syarikat yang dimiliki oleh Pok Teh mempunyai 11 orang pekerja mahir dalam kerja-kerja pertukangan perak. Minat dan kemahiran beliau kini diperturunkan kepada dua orang anaknya iaitu Hasnani binti Ab. Manan dan Hasnan bin Ab. Manan serta anak saudaranya, Razali bin Abas.

 

Tahap Penghasilan Karya / Reka Cipta

Encik Abdul Manan sering mengguna dan menggubah reka corak yang berunsurkan motif flora untuk disesuaikan dengan bentuk produk kraf mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan.

 

Eksklusif

Karya atau reka cipta yang dihasilkan beliau sering dijadikan hiasan dan cenderamata oleh pihak Istana Kelantan seperti Payung Adat Istiadat, Kepala Logo Kenderaan Istana dan Cokmar.

Beliau sering mendapat tempahan membuat cokmar dari Dewan Undangan Negeri, Institusi Pengajian Tinggi, Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri Pahang.

Hasil kerja tangan beliau telah mendapat perhatian dari Kerajaan Malaysia apabila menerima tempahan produk perak untuk cenderamata kepada bekas Setiausaha Agung PBB (Koffi Annan) pada tahun 2005.

 

Berikut Merupakan Produk-Produk Yang Telah Dihasilkan Oleh Beliau :

  • Cokmar Dewan Undangan Negeri Terengganu – 1980
  • Bekas Renjisan Air Mawar Istana Negara – 1990
  • Piala Perdana Sukma – Majlis Sukan Negara – 1990
  • Cenderamata Undangan Rasmi SUKOM 98 Berhad - 1998
  • Piala Olahragawan Negeri Pahang – Majlis Sukan Negeri Pahang – 1999
  • Cokmar Universiti Tun Abdul Razak – 2000
  • Cokmar Universiti Putera Malaysia – 2000
  • Keris Istiadat Cokmar Universiti Industri Selangor (Unisel) – 2001
  • Piala Anugerah Olahragawan / Olahragawati Kebangsaan –Majlis Sukan Negara (MSN) 2002
  • Cokmar Institut Iktisad Kemajuan Pahang (IKIP) -2005
  • Cokmar Universiti Teknikal Malaysia - 2007
  • Gong Bertanduk Tempahan Sultan Muhammad Ke V (Istanan Kelantan) -2010
  • Cokmar Kolej Universiti Perubatan Cyberjaya – 2010


Pasaran Khusus (Niche market)

Sesuai dengan strategi perniagaan KB Permai, Encik Abdul Manan telah menghasilkan produk mengikut segmen pasaran yang ingin diterokai samada di peringkat biasa, pertengahan atau tinggi (eksklusif). Susun atur bilik pameran dan jualan produk KB Permai disusun mengikut segmen pasaran khusus untuk pelbagai variasi pelanggan yang datang.

Pada tahun 2008, karya seni beliau telah dipilih oleh Kerajaan Malaysia untuk dipasarkan di Gedung Membeli Belah Harrods, London.


Karya / Reka Cipta Yang Menjadi Ikutan (Menjadi Trend-Setter)

Reka corak yang digubah oleh Encik Abdul Manan menggabungkan pelbagai motif tradisional dan geometri kontemporari khususnya tempahan Cokmar-Cokmar Universiti yang diterima pakai oleh banyak institusi pengajian. Antaranya ialah teknik pahat wares bermotif Pucuk Rebung, Sulur Kacang, Daun Jawa dan Tapak Lembing serta Islamic Geometric di atas permukaan produk perak

Inovasi Dalam Menghasilkan Karya Atau Reka Cipta

Encik Abdul Manan turut meneroka penggunaan alatan moden dalam seni Pertukangan Perak. Ia bertujuan untuk meluaskan lagi pasaran. Penggunaan alatan ini dapat menpercepatkan proses pertukangan, namun kualiti dan keindahan kraf perak masih terus dikekalkan. Di samping itu kos pengeluaran juga dapat dikurangkan dan ia memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk memiliki barangan kraf perak. Berikut merupakan peralatan yang beliau gunakan iaitu :

  • Plate Rolling Machines
  • Mesin Dawai Magnetic Thumbler Polishing Machines
  • Stamping Machines
  • Flexible Shaft

Pengiktirafan ke atas kepakaran tokoh

Beliau telah dilantik sebagai Tukang Perak Istana Kelantan. Kebanyakan barang yang dihasilkan oleh beliau sering digunakan oleh pihak Istana Kelantan sebagai cenderamata untuk kenalan dan tetamu Kerabat Diraja Kelantan.

Pada tahun 2008, Encik Abdul Manan telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Perak dari Kraftangan Malaysia.


Pengiktirafan ke atas karya / reka cipta tokoh

  • Hasil karya Encik Abdul Manan berjaya menembusi pasaran sehingga ke dalam Istana Negara sebagai salah satu perkakasan dalam adat istiadat istana.
  • Pengiktirafan Istana Negara tersebut setaraf dengan perlantikan beliau sebagai tukang perak Istana Negeri Kelantan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan.
  • Karya beliau juga sering digunakan untuk anugerah-anugerah tertinggi sukan negara seperti Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan dan Piala Perdana Sukma.
  • Kerajaan Malaysia turut mengiktiraf karya Encik Abdul Manan dengan menjadikan Produk Kraf Perak sebagai cenderamata kepada Bekas Setiausaha Agung PBB (Koffi Annan)

Antara lain-lain penganugerahan dan pengiktirafan yang diterima oleh beliau ialah :

  • Pada Tahun 1970’an beliau pernah menyertai pameran dan memenangi tempat ke dua kraf perak yang dianjurkan oleh Jabatan Muzium Malaysia
  • Pada tahun 1993 beliau telah dilantik sebagai Tukang Kraf Istana Kelantan oleh pihak Istana Kelantan
  • Beliau menerima Anugerah Usahawan Seni Kraf dalam bidang perak dari Kerajaan Malaysia pada tahun 2007
  • Pada Tahun 2008 beliau telah menerima Anugerah Industri Pelancongan Negeri Kelantan kategori produk kraf
  • Beliau juga dilantik sebagai Adiguru Kraf Perak dari Kraftangan Malaysia pada tahun 2009

 

Pencapaian kerjaya tokoh

Bermula pada awal tahun 1960-an, Encik Abdul Manan telah mengembangkan perniagaannya dengan menjadikan KB Permai sebagai jenama kraf perak yang ternama di peringkat tempatan dan juga nasional.

Beliau juga mempunyai 11 orang pekerja yang berkemahiran tinggi

Beliau juga pernah mempunyai kedai jualan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

 

Dokumentasi

Kegiatan beliau turut mendapat liputan daripada media masa tempatan:

  • RTM (Radio dan Televisyen)
  • Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3)
  • Berita Harian
  • Utusan Malaysia

Menurunkan kemahiran

Encik Abdul Manan tidak pernah mengenal erti jemu untuk menurunkan kemahiran pertukangan kraf perak kepada golongan muda yang berminat untuk mempelajari kemahiran ini .

Sesiapa sahaja yang berminat mendekati Encik Abdul Manan terutama pekerja-pekerja syarikat KB Permai akan sedikit sebanyak menimba ilmu pertukangan dan menjadi harapan beliau agar kemahiran ini akan diwarisi oleh seseorang. Buktinya, beliau mempunyai 11 orang pekerja tetap yang berkemahiran.

Beliau juga mempunyai dua orang anak iaitu Puan Harnaini binti Abdul Manan dan Encik Hasnan bin Abdul Manan yang turut menjejaki langkah beliau dengan mempunyai kedai dan bengkel pertukangan emas dan perak di Pasir Puteh dan Kota Bharu, Kelantan.

Anak-anak saudara beliau juga turut bekerja sebagai kakitangan KB Permai dan sedikit sebanyak mewarisi ilmu kraf pertukangan perak.

Beliau juga menerima bekas-bekas pelatih Latihan Jangka Pendek yang dijalankan di Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan untuk menimba lebih ilmu pertukangan kraf perak.

 

Penglibatan dalam program promosi anjuran agensi atau badan-badan tertentu

Beliau turut membantu mempromosikan barangan kraf perak dengan menyertai beberapa siri pameran dan demonstrasi di dalam dan luar negara termasuklah yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia.

Pada tahun 1970’an beliau pernah menyertai Pameran Kraf Perak anjuran Muzium Negara. Selain itu, beliau sering menerima jemputan jualan dalam program promosi sepanjang tahun anjuran Kraftangan Malaysia terutama Hari Kraf Kebangsaan.

Menjadi Pakar Rujuk

Pejabat Istana Negeri Kelantan menjadikan Encik Abdul Manan sebagai pakar rujuk untuk penghasilan dan tempahan produk-produk perak di Istana Kelantan. Beliau merupakan Tukang Perak Khas Istana Negeri Kelantan yang dilantik oleh Pejabat Sultan Kelantan untuk menghasilkan produk-produk kraf perak tempahan khusus Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan.

Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan juga pernah menggunakan khidmat beliau sebagai pakar rujuk dan panel penilai bagi produk perak yang dihasilkan oleh peserta Latihan Jangka Pendek Pahatan Perak yang dijalankan pada tahun 2009.


Menambah ilmu dan mempertingkatkan kemahiran

Encik Abdul Manan sentiasa berusaha menambah ilmu bagi meningkatkan kemahiran dalam menghasilkan karya atau reka ciptanya.

Dari segi pengunaan teknologi mesin dalam pembuatan kraf perak, beliau tidak segan silu untuk belajar daripada mereka yang lebih muda daripadanya untuk mempraktikkan kaedah pengeluaran yang mudah dan kos efisien daripada Pusat Kemudahan Gunasama Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan di Batu 2, Bunut Payung pada tahun 1980-an.

Beliau juga pernah menghadiri Bengkel Photo Etching, Spinning dan Casting yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia pada tahun 1980an.

 

Nilai falsafah dan identiti dalam memartabatkan kraf warisan

Faktor pendorong kepada beliau supaya meneruskan seni pertukangan kraf tradisional ini ialah:

Mempertahankan seni tradisional pertukangan kraf perak supaya terus berkembang dan dikenali ramai

Memartabatkan seni kemahiran masyarakat melayu