Adiguru Kraf
Pua
Sarawak
terkenal dengan seni kraf tenunan pua kumbu dan salah seorang tukang tenun yang
gah namanya dalam bidang ini ialah Bangie a/k Embol. Beliau dilahirkan pada
tahun 1945 dan mewarisi kemahiran menenun pua sejak usia remaja lagi. Minat
yang mendalam serta kemahiran yang tinggi telah mendorong beliau mereka cipta
corak dan motif yang mempunyai nilai-nilai estetika tersendiri. Antara
motif-motif tenunan pua beliau adalah Bunga Rang Jugah, Bunga Buah Sepuyong dan
Bunga Bali Malikut. Kelainan kain pua tenunan beliau adalah pada ragam hias
yang dihasilkan. Setiap kehendak pelanggan diterjemah ke dalam rekaan yang
kadang kala menggabungkan reka corak tradisional dan kontemporari.
Kepakaran
beliau menenun pua ini telah membawanya menjelajah ke luar negara bagi
mempromosi dan mempamerkan seni kraf tenunan etnik Sarawak. Antara pameran luar
negara yang pernah disertai beliau adalah seperti di Sweden, Paris, Bangkok,
Manila dan Singapura. Pada tahun 1998 beliau memenangi tempat pertama bagi
kategori kraf dalam pertandingan Natural Dye Weaving anjuran United Nations
Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO). Lain-lain
pertandingan yang disertai adalah pertandingan WICITRA (1990) anjuran
Kraftangan Malaysia dan pertandingan The State Wide Pua Kumbu (1998) anjuran
Tun Jugah Foundation.
Bagi
memastikan seni tenunan pua terus terpelihara dan berkembang, beliau menjadi
juru tunjuk khususnya kepada generasi muda. Beberapa siri bengkel, kursus dan
kelas bimbingan dikendalikan dengan kerjasama Kraftangan Malaysia dan juga
beberapa pertubuhan tempatan seperti Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan
Sarakup Dayak Iban Association (SADIA) Pampang. Beliau telah dilantik sebagai
Adiguru Kraf Tenun Pua pada tahun 2000 oleh Kraftangan Malaysia.
Kepimpinan
dan Ketokohan Puan Bangie
Puan Bangie
telah melibatkan diri dalam bidang seni Tenunan Pua lebih kurang 40 tahun.
Mewarisi seni kemahiran dari kedua ibubapanya sejak remaja lagi dan kini
diwariskan kepada dua orang anak perempuannya agar seni warisan keluarga kekal
oleh keturunannya. Beliau tidak pernah mendapat pendidikan formal di sekolah
tetapi hasil didikan dan pengajaran ilmu kemahiran yang diterima dari ibu
bapanya, Puan Bangie merupakan antara tokoh yang berjaya dalam bidang seni kraf
Tenunan Pua.
Tiga perkara
yang menjadi pendorong kepada beliau supaya meneruskan seni tenunan tradisi ini
iaitu:
- Tenunan pua merupakan tenunan warisan yang perlu dipertahankan agar terus berkembang.
- Beliau ingin menjadi penenun pua yang cemerlang dan terbilang.
- Beliau ingin memartabatkan seni kemahiran masyarakat Iban.
Semangat
kepimpinannya untuk melihat seni warisan kraf dipelihara dan diwarisi oleh
anak-anak tempatan, pencinta seni dan individu luar menyebabkan beliau sanggup
mengadakan bengkel, kursus dan latihan kepada mereka yang ingin mempelajarinya.
Hasilnya, terdapat anak didiknya yang mahir dalam bidang menenun.
Mempunyai
daya kreativiti dalam teknik tenunan, reka corak atau motif dan kekemasan pada
setiap kain pua yang beliau hasilkan. Beliau berkemahiran mencipta reka corak
serta motif yang indah dan mempunyai nilai-nilai estetika yang tersendiri.
Antara motif tenunan pua yang dihasilkan seperti bunga rang jugah, bunga buah
sepuyong dan bunga bali malikut.
Beliau juga
berupaya menterjemahkan rekaan pelanggan melalui tenunan pua. Di samping
motif-motif tradisional, beliau turut mereka motif-motif kontemporari yang
dapat memenuhi cita rasa pelanggan yang terdiri daripada masyarakat tempatan
dan antarabangsa.
Kebiasaannya
beliau menggunakan benang kapas dalam Tenunan Pua. Kini beliau turut
menggunakan benang sutera bagi memenuhi permintaan pelanggan dan pasaran. Selain
daripada itu, beliau turut menggunakan pewarnaan semula jadi dalam kerja-kerja
menenun. Namun demikian beliau lebih banyak menggunakan warna sintetik yang
mudah didapati.
Beliau
menghasilkan kain Pua Kumbu untuk pakaian atau dijadikan hiasan dalaman.
Pengalaman,
Penglibatan dan Sumbangan Puan Bangi dalam Bidang Kraf Tenunan Pua. Sepanjang
penglibatan beliau dalam bidang seni Tenunan Pua, pelbagai aktiviti dan program
yang dianjurkan oleh agensi kerajaan dan swasta disertainya tanpa sebarang
alasan dengan niat untuk memperkenalkan Tenunan Pua di persada antarabangsa.
Mempromosi
Tenunan Pua di dalam dan luar negara.
- Menyertai demonstrasi Tenunan Pua di Pameran Pua Kumbu di Ethnographis Museum, Sweden pada tahun 1999.
- Menyertai pameran dan demonstrasi di Paris, Bangkok, Manila dan Singapura.
- Kepakaran dan kemahirannya dalam menenun serta mereka corak tenun pua telah menarik perhatian masyarakat setempat, masyarakat luar dan pelancong luar untuk memiliki hasil kerja tangannya.
- Pada tahun 2000, beliau dilantik sebagai Adiguru Kraf Tenun Pua oleh Kraftangan Malaysia.
- Pada tahun 1998, beliau telah menyertai :
- Pertandingan Penggunaan Warna Asli Dalam Tenun Ikat (Pua) anjuran UNESCO di Bangkok dan menangi hadiah pertama .
- Pertandingan Pua Kumbu anjuran Yayasan Tun Jugah.
- Pertandingan Kraftangan Peringkat Negeri Sarawak anjuran Sarawak Craft Council.
- Pada tahun 1990 beliau juga menyertai pertandingan WICITRA anjuran Kraftangan Malaysia.
Sumbangan
Bagi
memastikan seni warisan ini di warisi oleh generasi seterusnya beliau telah
memberi tunjuk ajar kepada anak-anak tempatan melalui bengkel, kursus dan kelas
bimbingan yang diadakannya.
Menjadi
jurutunjuk :
Kelas
Tenunan Pua anjuran Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Sarakup Dayak Iban
Association (SADIA) Pampang (1994-1995)
No comments:
Post a Comment