Sunday, October 22, 2017

INFO KRAF - GASING TOYOL

Gasing merupakan sejenis permainan yang boleh berputar pada paksinya, sambil mengimbang pada satu titik. Gasing merupakan permainan tradisional orang-orang Melayu sejak dahulu lagi. Biasanya dimainkan selepas musim menuai. Permainan gasing dipertandingkan antara kampung. Pemenang dikira berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar.

Gasing dibuat daripada kayu bebaru, kemuning, merbau, rambai, durian atau kundang. Kayu tersebut akan ditakik-takik dan dikikis sehingga menjadi bentuk gasing.

Tali gasing dibuat daripada kulit pokok bebaru. Tapi sekarang tali gasing dibuat daripada tali nilon. Panjang tali gasing biasanya bergantung kepada panjang tangan seseorang. Biasanya 1 meter panjang. Minyak kelapa digunakan untuk melicinkan pergerakan gasing .




Gasing Toyol

Gasing Toyol merupakan sejenis gasing yang berbentuk tinggi seperti berembang dengan berat sekitar 0.6 kg. Gasing toyol mempunyai lilitan sekitar 36 cm dengan ketinggian sekitar 12 cm. Gasing Toyol banyak dimainkan di Melaka.

Seperti juga toyol yang sering mengganggu, mengacau dan mencuri, begitu jugalah pusingan gasing ini yang digunakan untuk mengganggu, mengacau, mencuri ruang masa dan mudah bergesel dengan gasing lain. Ketika dalam permainan, gasing toyol mestilah dipangkah dahulu, jika tidak ia akan mengganggu gasing-gasing lain.

Pada masa kini, pemain gasing di Selangor dan Negeri Sembilan mula menggunakannya sebagai pengacau.



No comments:

Post a Comment