Sunday, October 22, 2017

Info Kraf - Gasing Bergelen

Gasing merupakan sejenis permainan yang boleh berputar pada paksinya, sambil mengimbang pada satu titik. Gasing merupakan permainan tradisional orang-orang Melayu sejak dahulu lagi. Biasanya dimainkan selepas musim menuai. Permainan gasing dipertandingkan antara kampung. Pemenang dikira berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar.

Gasing dibuat daripada kayu bebaru, kemuning, merbau, rambai, durian atau kundang. Kayu tersebut akan ditakik-takik dan dikikis sehingga menjadi bentuk gasing.

Tali gasing dibuat daripada kulit pokok bebaru. Tapi sekarang tali gasing dibuat daripada tali nilon. Panjang tali gasing biasanya bergantung kepada panjang tangan seseorang. Biasanya 1 meter panjang. Minyak kelapa digunakan untuk melicinkan pergerakan gasing .

Gasing Bergelen

Gasing Begelen merupakan sejenis gasing yang berbentuk rendah seperti piring dengan berat sekitar 0.5 kg. Gasing begelen mempunyai lilitan sekitar 30 cm dengan ketinggian sekitar 8 cm.


Gasing ini merupakan gasing Jawa dan merupakan bentuk asas gasing leper Johor dan gasing uri. Ia diperbuat daripada kayu jenis ringan seperti leban atau gelam tetapi telah disimpai dengan menggunakan keluli. Gasing jenis ini juga terdapat di Sabah dan Brunei. Selain digunakan untuk memusing, ia juga boleh digunakan untuk memangkah. Bagi pemain Johor, gasing ini hanya digunakan untuk bermain dalam gelanggang yang becak sahaja.

No comments:

Post a Comment