Sunday, October 22, 2017

INFO KRAF - KAIN SULAMAN PIS SABAH

KAIN SULAMAN PIS

Kain Sulaman Pis atau ‘Tinohian’ adalah sejenis kain yang berukuran lebih kurang satu meter persegi yang mempunyai dua belah atau bahagian yang disulam dengan motif yang berwarna warni. Kebiasaanya kain ini di lipat dan dipakai sebagai ikat kepala lelaki bagi suku Kaum Rungus.

Merupakan sejenis kerja tangan sulaman suku kaum Binadan dari Daerah Kudat. Ianya diusahakan oleh kaum wanita sebagai kerja sambilan dan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Kain Sulaman Pis ini dibuat dengan menggunakan kain kapas sebagai kain latar yang kebiasaan warna hitam dan oren atau hitam dan merah, atau merah dan oren atau kuning dan oren. Ianya berukuran lebih kurang satu meter persegi. Kain ini ditegangkan diatas pemidang.

Secara tradisi motif yang diperlukan dilukis di atas kertas terlebih dahulu. Kemudian kertas yang mempunyai motif ditebuk dengan jarum bagi mendapatkan lubang lubang halus. Kemudian kertas bermotif berkenaan diletakan diatas kain dan ditaburkan dengan bedak diatasnya. Kertas kemudianya di alihkan dan didapati garisan garisan motif terbentuk diatas kain. Garisan corak atau motif yang terdapat dikain berkenaan menjadi panduan untuk menyulam.

Garisan corak atau motif dimulakan dari sudut ketepi dan terus kebahagian tengah kain, ini adalah untuk mempastikan corak atau motif berada dalam keadaan seimbang pada semua sudut. Apabila keseluruhan kain telah dilukis, kain sedia untuk di sulam. Sulaman dibuat mengikut motif yang dihasilkan dan dibuat dari tepi ketengah. Apabila semuanya telah disulam ianya dicantumkan menjadikan ianya boleh digunakan kedua dua belah permukaan kain.

Pada masa sekarang garisan motif dilukis menggunakan kertas karbon atau dilukis tangan dengan menggunakan pensil. Benang kapas berwarna terang digunakan sebagai bahan motif, biasanya tidak melebihi tujuh warna. Bagi menyiapkan satu helai kain ini ianya mengambil masa sehingga tiga bulan bergantung kepada motif, warna dan saiz yang dihasilkan. Kebanyakan Kain Sulaman Pis ini dihasilkan oleh suku kaum Binadan, salah satu kelompok etnik Sulu dan Bajau di sekitar Kudat.

AFSAH HABAGAT DI IKTIRAF SEBAGAI TUKANG ULUNG BAGI SULAMAN PIS SABAH
Afsah Habagat adalah salah seorang tukang kraf yang mengusahakan Sulaman Pis di Sabah yang telah diiktiraf oleh pihak kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Beliau menerima pengiktirafan sebagai Tukang Ulung Kraf semasa perasmian Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2014 pada 27 Februari 2014 yang disempurnakan oleh isteri YAB Perdana Menteri Malaysia bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Hasil kerja Puan Afsah adalah penghasilan secara tradisi dengan mengekalkan  reka corak tradisi sejak turun temurun. Secara eksklusif sulaman pis ini dihasilkan oleh suku kaum Bajau Benadan di Kudat tetapi ianya dipakai oleh suku kaum Rungus di Kudat sebagai tengkolok (dastar). Karya atau reka cipta yang beliau hasilkan adalah ilham daripada hidupan laut dan beberapa jenis-jenis tumbuhan. Reka corak yang dihasilkan berasaskan hidupan laut seperti kuda laut, naga dan ikan. Corak flora dan fauna juga digunakan untuk menghasilkan reka corak pada kain sulaman pis. Puan Afsah  masih mengekalkan pengeluaran produk mengikut kaedah tradisi yang diturunkan secara warisan.

Beliau memasarkan produk melalui orang tengah dan memasarkan terus kepada orang ramai atau agensi jabatan yang berkunjung ke rumah beliau. Puan Afsah pernah mengikuti pertandingan Wicitra pada tahun 1990 dengan mengemukakan produk Sulaman Pis. Beliau pernah terpilih untuk menjadi tenaga pengajar bagi pembuatan sulaman pis dan juga pernah menjadi jurudemo untuk sulaman pis yang dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan negeri. Hasil kerja beliau pernah mendapat liputan dan diterbitkan oleh media cetak melalui akhbar tempatan. Puan Afsah menurunkan kemahiran yang beliau miliki kepada anak beliau dan juga masyarakat setempat yang berminat untuk mengeluar dan menghasilkan produk sulaman pis. 

Beliau menjadi rujukan oleh  Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan agensi kerajaan yang lain untuk kajian yang mereka lakukan. Puan Afsah sentiasa berusaha untuk mengekalkan warisan sulaman pis ini dengan menjadi pengeluar sulaman tersebut, walaupun beliau sudah berumur. Faktor pendorong bagi Puan Afsah untuk meneruskan seni warisan sulaman pis adalah untuk mempertahankan kelangsungan warisan sulaman pis suku kaum Bajau Benadan yang hampir pupus.

No comments:

Post a Comment