Ribu-ribu atau nama saintifiknya Lygodium tergolong dalam
famili paku-pakis, tumbuh menjalar di kawasan terbiar, hutan-hutan muda, kebun
kelapa atau kebun getah yang tidak diusahakan lagi. Ribu-ribu jarang sekali
dikenali masyarakat umum, kecuali dikalangan pencipta kraf, para penyelidik
serta pakar perhutanan dan botani. Namun demikian, penggunaannya amat meluas di
zaman silam terutama dalam kehidupan seharian orang-orang Melayu terutama di
Kelantan dan Terengganu. Secara tradisi, anyaman ribu-ribu di Semenanjung
biasanya terdapat pada terendak, bekas tembakau, serkap ikan, penahan ikan
sawah serta jebak puyuh. Penutup rabung rumah Melayu di Terengganu turut
menggunakan ribu-ribu biasa yang dijalin antara kepingan bilahan buluh.
Kini penggunaan ribu-ribu di Semenanjung telah mula
berkurangan berbanding dengan negeri Sabah yang masih giat menjalankan warisan
ini. Anyaman ribu-ribu atau dikenali dengan panggilan Rinago di sabah masih
diusahakan secara turun temurun oleh suku kaum Rungus terutama di daerah Kudat.
Kini kemahiran ini telah mula menular kepada kaum asli Sabah yang lain.
Ribu-ribu yang biasa digunakan oleh kaum ini ialah jenis sederhana dan halus.
CARA MEMPEROSES RIBU RIBU
- Batang ribu-ribu serta akarnya dicabut.
- Daun-daun dan bahagian hujung (pucuk) nya dipotong.
- Ribu-ribu dibelah sedikit dengan pisau kepada dua atau tiga bahagian mengikut ukuran.
- Belahan dimulakan daripada hujung hingga ke pangkal.
- Seterusnya belahan dibuat dengan hanya menggunakan ibu jari. Benda tajam seperti pisau adalah tidak sesuai kerana akan menyebabkan belahan tidak seimbang, mudah putus dan rosak.
- Setelah belahan hampir kehujung atau pangkal, empulur akan ditarik keluar. Ribu-ribu kemudian digantung dan dijemur di tempat yang teduh hingga kering. Ribu-ribu yang terlalu kering akan mengakibatkan kulit ribu-ribu menjadi kecut dan mudah patah bila dianyam. Ia juga perlu dielakkan daripada terkena air sebelum digunakan agar ia tidak mudah bertukar kepada warna hitam.
- Ribu-ribu yang telah kering seterusnya diraut dengan pisau.
- Helaian ribu-ribu kemudian dijangka mengikut saiz yang dikehendaki dengan memasukkannya melalui lubang tudung tin yang ditebuk.
Alat-Alat Untuk Menganyam Ribu-Ribu
- Penyucuk ais yang kecil alat yang panjangnya lebih kurang tiga inci ini digunakan untuk menjalin ribu-ribu.
- Rotan empulur digunakan sebagai bahan lingkaran atau bingkai asas bagi menjalin ribu-ribu mengikut bentuk dikehendaki.
- Pengetip kuku digunakan untuk memotong dan memperkemaskan lebihan ribu-ribu yang dijalin.
Proses Anyaman
- Rotan empulur atau bemban diraut dengan pisau dan kemudian dibasahkan sedikit untuk melembutkannya.
- Ribu-ribu disimpulkan sedikit dan seterusnya dijalin pada rotan empulur. Jalinan seterusnya dibuat mengikut lingkaran rotan dengan menggunakan penyucuk ais.
- Sementara itu, lebihan ribu-ribu pula dipotong menggunakan pengetip kuku. Jalinan atau ikatan lilitan dibuat dengan kemas dan teliti sehinggalah barangan siap.
Kegunaan Ribu-Ribu
Secara tradisi, ribu-ribu asli digunakan tanpa sebarang
pewarna. Namun demikian, ribu-ribu kini telah dicelup pewarna untuk membentuk
pelbagai corak dan warna yang menarik pada barangan ribu-ribu. Kraf Rinago atau
ribu-ribu pada asalnya digunakan oleh kam Rungus di Sabah sebagai bekas
penyimpan bahan-bahan untuk ubat-ubatan tadisional. Melalui pengubahsuaian
pelbagai bentuk, kraf ribu-ribu kini tampil dengan berwajah baru. Penggunaannya
juga turut meluas, tidak lagi sekadar bekas serbaguna, bekas barang kemas atau
tepak sirih tetapi juga turut dijadikan sebagai perhiasan, bekas buah, pasu
bunga dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment