ANYAMAN PANDAN / MENGKUANG
Pokok Pandan / Mengkuang (Pandanus amaryllifolius)
merupakan sejenis pokok yang banyak kegunaannya bagi pengusaha kraf. Ia
digunakan sebagai pewangi makanan seperti air sirap, dan dalam upacara tertentu
seperti sebagai bunga rampai dalam istiadat perkahwinan Melayu dan juga
digunakan untuk menghasilkan tikar pandan dan produk kraf.
Di Malaysia, pokok pandan dibezakan antara pandan
biasa dan pandan wangi. Pokok Pandan Wangi adalah lebih kecil daunnya, tetapi
berbau lebih wangi.
Pokok Pandan merupakan sejenis tumbuhan tropika
dalam keluarga genus Pandanus dan digunakan dengan meluas dalam masakan di Asia
Tenggara. Ia ialah pokok hijau menegak dengan daun panjang halus seperti bilah
berjambak dan akar berkayu. Pokok ini adalah mandul dan jarang berbunga, dan ia
membiak melalui keratan.
Pokok Pandan jarang terdapat secara meliar tetapi
ditanam dengan meluas bagi perisa dalam masakan. Daunnya digunakan segar atau
dikeringkan dan terdapat secara dagangan dalam bentuk beku di kedai runcit Asia
di negara di mana pokok pandan tidak tumbuh. Ia memiliki bau botani berkacang
yang meningkatkan perisa masakan Asia, terutama hidangan nasi dan kuih. Daun
pandan kadangkala direndam dalam santan, yang kemudiannya ditambah dalam
masakan. Ia boleh diikat dan dimasak bersama makanan. Ia juga boleh dianyam
bentuk bakul yang digunakan sebagai bekas bagi memasak nasi. Ayam berbalut
pandan, atau gai ob bai toey, ialah masakan Thailand dengan ayam dibalut dengan
daun pandan dan digoreng. Daun ini juga digunakan sebagai perasa bagi pencuci
mulut seperti kek pandan dan air sirap.
Pandan dan mengkuang tumbuh subur di tepi-tepi alur,
paya, sungai dan kawasan-kawasan yang menggenangi air tawar di seluruh
nusantara. Tidak hairanlah seni menganyam pandan dan mengkuang tersebar luas.
Dengan itu, pelbagai barangan dapat dihasilkan daripada anyaman pandan dan
mengkuang. Pandan dan mengkuang adalah tumbuhan daripada spesis yang sama. Daun
mengkuang lebih lebar, tebal dan panjang daripada daun pandan. Oleh yang
demikian, biasanya mengkuang digunakan untuk menganyam benda-benda yang lebih
besar dan kukuh berbanding dengan benda-benda yang diperbuat daripada pandan.
Namun begitu, bilah anyaman mengkuang tidak semestinya lebih lebar daripada
bilah anyaman pandan
Kelebaran bilah anyaman dikaitkan dengan kehalusan
hasil kerja, lebih kecil bilah, lebih halus hasil kerjanya. Hasil kraf yang
halus pembuatannya mempunyai nilai hiasan yang tinggi. Sebaliknya, hasil kraf
yang kasar lebih menekankan ciri fungsional. Tikar mengkuang yang lebar
anyamannya biasanya digunakan untuk menjemur padi, mengalas lantai dapur atau
jemuran dan sebagainya. Tikar yang dianyam untuk kegunaan demikian tidak
dicelupkan warna, berlainan daripada tikar yang dikhaskan untuk tetamu. Tetamu
dibentangkan tikar yang bukan sahaja halus anyamannya malah bercorak dan
berwarna-warni.
Memproses Bahan
Daun-daun yang cukup tua ditetak di pangkalnya
sehelai demi sehelai, bermula di bahagian umbi pokok. Tujuh atau lapan helai
daun muda di keliling umbut pokok tidak ditetak tetapi ditinggalkan untuk
tuaian seterusnya serta untuk memastikan pokok itu terus hidup dan mengeluarkan
daun-daun baru. Menetak daun dilakukan dengan berhati-hati kerana pandan dan
mengkuang berduri-duri, sedangkan tanah dikeliling perdunya lazimnya berair dan
licin atau mudah perlus. Daun-daun yang sudah ditetak kemudian dipangkas
hujungnya untuk membuang bahagian yang tirus dan tidak dapat dibelah, serta
supaya semua daun itu hampir sama panjang. Seterusnya, daun-daun tersebut
dilayur di atas bara unggun api kecil hingga layu.
Kadangkala daun-daun itu tidak dilayur tetapi
dijemur hingga benar-benar kering dan layu. Tujuannya ialah mematikan sel daun
dan menyingkirkan air yang terdapat di dalamnya. Setelah daun-daun itu layu,
duri yang terdapat pada tulang belakang dan sayap mengkuang dibuang dengan
sautas serat sabut yang diregangkan ibu jari dan jari telunjuk. Apabila duri
belakang daun dibuang, dengan sendirinya daun terbelah menjadi dua. Belahan itu
kemudian dibelah lagi mengikut kelebaran yang dikehendaki dengan alat yang
dipanggil jangka. Belahan-belahan yang siap dijangka dikumpulkan dan diikat
sebesar betis dengan jarak kira-kira satu kaki dari satu ikatan ke satu ikatan
lain. Belahan yang berikat itu dititik atau dipukul dengan alu supaya lembut
dan mudah dilurut.
Melurut melembutkan belah dan melicinkan
permukaannya. Belah yang sudah dilurut dilipat tetapi tidak sampai patah lalu
diikat dan direndam di dalam air selama dua atau tiga hari. Dalam tempoh itu,
air rendaman digantikan sekurang-kurangnya dua kali supaya bilah-bilah itu
tidak lebam dan berbau busuk.
Pada hari ketiga atau keempat, bilah-bilah itu
dikeluarkan dan dibasuh dan dibilas hingga bersih sebelum dijemur. Bilah yang
cukup kering akan bertukar menjadi putih. Seterusnya, bilah itu bolehlah
diwarnakan jika mahu. Bilah-bilah mengkuang atau pandan diwarnakan dengan cara
mencelup, iaitu merebusnya bersama bahan celup pewarna selama beberapa minit.
Dahulu, cuma tiga warna yang popular iaitu merah, hijau dan kuning kerana bahan
celup warna-warna tersebut mudah diperolehi. Warna merah daripada pokok
kesumba, hijau daripada daun bemban, dan kuning daripada daun kunyit. Tetapi,
sekarang bahan celup pelbagai warna dijual dengan meluas. Apabila sudah dicelup
dan dijemur hingga kering, bilah-bilah dilurut bagi kali terakhir supaya lebih
licin dan lembut.
Menganyam
Cara anyaman dimulakan bergantung pada jenis benda
yang ingin dihasilkan serta corak hiasan yang dipilih. Anyaman tikar misalnya,
boleh dimulakan di tengah-tengah ataupun di bucu. Tetapi, bagi tudung saji,
anyaman mesti dimulakan di puncaknya yang berbentuk kon. Kon puncak itu boleh
digantungkan atau diketengahkan untuk meneruskan anyaman tudung saji
Corak Anyaman Tikar
Corak lebih menekankan kepada penggunaan susunan
warna pada sesuatu anyaman biasa atau ghadas. Warna-warna penting dalam
menentukan corak. Corak dijalin secara selang-seli hingga meninggalkan kesan
geometri asli. Namanya akan berbeza jikan dianyam dalam bentuk, ukuran dan
susunan yang berlainan. Terdapat 11 corak yang dianyam iaitu:
1. Corak Tapak Catur – seringkali dianyam dalam dua
atau tiga warna. Hasil cantuman warna cerah dan gelap
2. Corak Mata Bilis – menggunakan warna teang dan
gelap. Warna gelap dianyam satu mata sahaja dengan warna cerah. Kedua-dua warna
ini timbul seakan-akan beras patah.
3. Corak Beras Patah – menyerupai corak mata bilis
tetapi warna cerah dianyam tiga mata diselangi dengan satu mata gelap. Hasil
cantuman ini member gambaran seakan-akan beras patah.
4. Corak Palembang – berasal dari Palembang. Petak
empat segi atau biji kundang dianyam dengan warna hijau dan dikelilingi
jalur-jalur dua warna iaitu merah dan putih.
5. Corak Bugis – berasal dari Bugis dan penggunaan
dua warna yang berdekatan hijau dan putih. Petak-petaknya lebih kecil dari
corak Muar serta dianyam dalam bentuk berdiri dan serong.
6. Corak Muar – berasal dari Muar dan bermotif empat
segi. Anyaman dua warna merah dan biru serta dikelilingi dengan jalur-jalur
putih, hijau dan kuning. Antara petak-petak digunakan adalah campuran merah dan
biru.
7. Corak Selang-seli – penggunaan warna gelap dan
cerah. Kedua-dua bahagian dianyam mata sama banyak dan selari.
8. Corak Berdiri – kurang mendapat sambutan dari
pengusaha. Penggunaan dua warna tetapi untuk mendapatkan corak yang betul-betul
lurus amat sukar.
9. Corak Serong – corak yang mudah. Bermacam kelarai
boleh dianyam melalui contoh ini serta amat digemari oleh para penganyam.
10. Corak Ketapang Gilir Kacang – seakan-akan corak
selang-seli dan susunan yang rapat. Dianyam dengan dua warna iaitu cerah dan
gelap.
11. Corak Malaysia – corak selang-seli, dikelilingi
dengan warna merah, putih, hijau dan biru