Sunday, October 22, 2017

PENDEKATAN DAN STRATEGI MENINGKATKAN JUALAN PRODUK KRAF MALAYSIA

PENDEKATAN DAN STRATEGI MENINGKATKAN JUALAN PRODUK KRAF MALAYSIA

Pada pandangan anda apakah pendekatan strategi dan pelan tindakan baru selain daripada yang dilaksanakan perlu dibuat bagi meningkatkan jualan kraf tempatan di peringkat dalam dan luar Negara.

JAWAPAN

Jualan produk Kraftangan di Malaysia mengalami peningkatan setiap tahun  dan  mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Peningkatan nilai jualan setiap tahun adalah disebabkan usaha berterusan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia melalui program Promosi yang diadakan di dalam dan luar negara. Program promosi yang diadakan saban tahun adalah bertujuan untuk meningkatkan nilai jumlah jualan produk kraf dan seterusnya meningkatkan pendapatan usahawan kraf di Malaysia.

Usaha melaksanakan program promosi telah berjaya meningkatkan jualan kraf dari tahun ke tahun. Namun demikian kaedah, strategi dan tindakan baru selain yang telah dilaksanakan melalui program promosi sedia ada perlu dibuat bagi memastikan jumlah jualan kraf tempatan terus meningkat. Berikut adalah beberapa pendekatan dan cadangan yang amat perlu bagi tujuan tersebut :

1. Meningkatkan kesedaran dan penggunaan media sosial media kepada usahawan sebagai kaedah baru memasar dan menjual produk kraf.
2. Mewujudkan lebih banyak kedai kraf .
3. Pembelian produk usahawan kraf terus oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
4. Perluaskan peranan kedai anak syarikat kraftangan di setiap negeri.
5. Belajar kaedah yang digunakan jiran untuk meningkatkan jualan produk.
6. Memperkasakan Peniaga kraf.
7. Meningkatkan jualan produk usahawan kraf Sabah dan Sarawak melalui penambahan aktiviti dan program Promosi dikedua dua negeri.
8. Kerjasama dengan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, dan persatuan bukan kerajaan yang terdapat di negeri – negeri dalam Malaysia melalui program Malaysia’s National Blue Ocean Strategy (NBOS) “ .


1. MENINGKATKAN KESEDARAN DAN PENGGUNAAN SOSIAL MEDIA KEPADA USAHAWAN KRAF SEBAGAI KAEDAH BARU MEMASARKAN PRODUK.

Pemasaran melalui Media Sosial merupakan salah satu cara pemasaran yang amat berkesan jika diaplikasikan dengan cara yang betul. Kaedah dan cara baru memasar dan menjual produk yang paling efisyen dan berjaya. Media sosial seperti facebook, Twitter, Instagram, Linkedin, Foursquare, YouTube dan sebagainya adalah cara promosi perniagaan yang popular dan mudah kerana boleh dilakukan di rumah atau dimana-mana sahaja. Kaedah pengiklanan melalui laman sosial mudah dilaksanakan dan kaedah yang percuma dan berkesan. Perkenalkan produk perniagaan dengan menghantar gambar produk perniagaan serta kebaikkan penggunaan produk perniagaan untuk keyakinan rakan laman sosial dengan menyertakan website, blog atau nombor telefon perniagaan. Kaedah promosi melalui media soaial mempunyai banyak kebaikkan untuk membina kenalan baru atau hubungan perniagaan yang baik dan ikhlas sambil pertukaran peluang perniagaan.

Empat media sosial yang popular masa kini untuk mempromosikan produk perniagaan ialah
a. Promosi Produk Di Facebook.  Facebook adalah media sosial yang paling popular masa kini untuk pengiklanan produk perniagaan yang boleh dilaksanakan secara percuma atau berbayar



b. Promosi produk di Instagram. Instalgram adalah platform pengiklanan perniagaan  popular kini selepas Facebook. Buat atau create akaun instalgram untuk upload gambar produk perniagaan serta butiran perniagaan sambil membina followers. Followers yang ramai amat penting untuk meningkatkan keberangkalian keberkesanan dalam promosi perniagaan.

c. Promosi Produk melalui Youtube.Youtube adalah media soaial yang menggunakan video atau video bergambar. Pembinaan Youtube membolehkan kita mempromosikan produk perniagaan dengan menyelitkan barangan perniagaan dalam sesuatu video youtube

d. Promosi Produk Perniagaan Menerusi Website atau Blog Pemasaran produk perniagaan memerusi website atau blog adalah bisnes online paling menarik, berkesan dan berkekalan. Laman web atau blog adalah seperti kedai jualan online 24 jam yang memaparkan gambar produk, maklumat produk, borang tempahan, testimoni, cara hubungi dan sebagainya. Blog boleh di bina secara percuma tanpa had dengan hanya memiliki akaun gmail. Blog percuma terbaik adalah blog wordpress atau blogspot. Website atau laman web perniagaan adalah promosi perniagaan berbayar iaitu perlu sedikit perbelanjaan sewa tapak server dan domain.

Memasarkan sesuatu produk atau perkhidmatan dengan cepat, mudah dan menjimatkan kos menjadi faktor pendorong kepada penggunaan media sosial. Usahawan pada kebiasaanya memasarkan produk pada masa tertentu iaitu semasa aktiviti promosi kraf. Bagi usahawan yang menggunakan media sosial, memasarkan produk tidak tertakluk pada masa tertentu sahaja. Usahawan boleh memasarkannya pada bila-bila masa. Kos yang diperlukan adalah kecil iaitu talian internet, komputer ataupun telefon pintar. Usahawan kraf di Malaysia sebenarnya telah ramai menggunakan media sosial ini untuk memperkenalkan produk mereka, memasar dan menjual kepada pelanggan. Dari pemerhatian dan sedikit pencarian yang saya buat sendiri, terdapat kira kira tidak kurang dari 300 orang usahawan kraf Senjata (Parang dan pisau), Aksesori Mutiara, Batik dan songket  menggunakan facebook untuk memasarkan produk mereka. Ini belum lagi termasuk bidang kraf lain.  
     
Berapa orang daripada usahawan ini juga memberi maklum balas bahawa kaedah jualan produk secara online amat baik dan memberi pulangan yang agak memberangsangkan. Pengusaha Parang iaitu Encik Jamawid hj Soh, Encik Said Sahem dan tuan Hai Majad Abd Halim memaklumkan bahawa jumlah jualan produk melalui kaedah ini boleh mencapai nilai RM1000 hingga RM4000 sebulan dan secara berterusan. Sambutan yang diterima amat menggalakan dan tempahan diterima secara berterusan dari dalam negeri Sabah mahupun dari Semenanjung Malaysia.
 
Sehubungan itu saya mencadangkan agar  Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di bawah Bahagian Pembangunan Industri  memberi tumpuan terhadap kaedah dan cara pemasaran produk menggunakan media sosial ini. Kursus usahawan kraf membuat akaun media sosial dan cara pengendalian  perlu dibuat dan diperluaskan penggunaan pada semua usahawan kraf seluruh Malaysia. Kaedah  perniagaan cara ini amat mudah dan senang diurus selain menyertai program promosi yang dianjurkan. Perniagaan cara alaf baru ini hanya perlu dilakukan dirumah dan dimana mana sahaja yang penting akses untuk capaian sosail media tersebut ada. Usahawan kraf yang tidak dapat menyertai program promosi paling baik menggunakan kaedah perniagaan online ini dan ini salah satu peluang terbuka untuk mereka memperkenalkan produk yang dihasilkan pada orang ramai.

Saya juga mencadangkan agar usahawan yang sedia ada menggunakan media sosial ini dikenalpasti berapa ramai dan seterusnya didaftarkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Maklumat nilai jualan melalui kaedah perniagaan online ini dan jumlah usahawan terlibat akan dapat digunakan untuk analisa dan dapat menghasilkan suatu keputusan yang terbaik untuk meningkatkan nilai jualan produk usahawan pada masa akan datang.


2. MEWUJUDKAN LEBIH BANYAK KEDAI  KRAF

Setiap tahun Kraftangan Malaysia membelanjakan jutaan ringgit untuk mengadakan program Promosi jualan secara jangka pendek iaitu promosi kraf bertema, Promosi Kraf Malaysia di Pusat Beli Belah, Pameran Perdagangan Di Luar Negara, Promosi Pengguna Luar Negara, Pameran Perdagangan Dalam Negara dan Promosi Kraf di Peringkat cawangan Negeri.  Program Promosi yang diadakan ini amat baik dan telah menyumbang meningkatkan nilai jualan kraf setiap tahun. Walau bagaimanapun tempoh promosi jualan yang agak singkat akibat kekangan peruntukan menghalang nilai jualan untuk terus bertambah.

Sehubungan itu saya mencadangkan agar promosi jualan secara jangka panjang atau berterusan perlu diadakan iaitu dengan mewujudkan pusat jualan kekal dengan konsep kedai kraf terbuka. Kita sedar bahawa Kraftangan Malaysia telah mempunyai dua anak syarikat iaitu syarikat Karyaneka Sdn Bhd dan Kraf Holding. Namun demikian keupayaan dan peranan kedua dua anak syarikat agak terhad dan hanya terdapat di lokasi lokasi tertentu sahaja.  Kedai kraf kekal ini saya rasakan amat perlu dibina dan akan membolehkan usahawan kraf menjalankan perniagaan secara berterusan dan secara sepenuh masa. Contoh kedai kraf yang terdekat yang terdapat di negeri Sabah adalah gerai Kraf Pekan Nabalu, Kota Belud Sabah  yang ditelah dibina oleh Kerajaan negeri Sabah.  Walaupun gerai ini tidak menjual sepenuhnya produk kraf tempatan tetapi yang saya hendak tunjukkan disini adalah konsep cadangan kedai yang dimaksudkan. Konsep kedai ini adalah terbuka dan boleh menempatkan ramai usahawan kraf dalam satu satu masa.

Terdapat kira kira 100 orang usahawan kraf menjual produk kraf di Pekan Nabalu. Produk yang dihasilkan 40% adalah produk tempatan manakalah 60% adalah produk negara jiran. Purata jualan setiap usahawan yang menjual disini adalah sebanyak RM500.00 hingga RM5,000 setiap bulan.  Jualan keseluruhan produk sebulan adalah sebanyak RM250,000.00 iaitu purata RM2500 sebulan bagi setiap usahawan. Setahun nilai jualan adalah sebanyak RM3 juta.

RM3 juta diperolehi untuk satu kawasan sahaja. Malaysia ada 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan. Sekiranya empat belas  (14)  gerai dibina mengikut jumlah negeri yang boleh menempatkan 100 orang setiap , nilai jualan keseluruhan setahun sekiranya nilai jualan satu negeri adalah sebanyak RM3  adalah sebanyak RM42 juta. Sekiranya setiap negeri ada dua (2) atau tiga (3) barisan kedai kraf sebegini. nilai jualan boleh mencapai ratusan juta .
Contoh kedai Kraf Pekan Nabalu,Jalan Ranau, Sabah.


Ciri Kedai kraf yang dicadangkan :-
a. Bersifat mesra dan terbuka tidak perlu dipasang alat penghawa dingin. Cukup sekadar kipas syiling.
b. Boleh menempatkan ramai usahawan kraf dan dapat menjalankan perniagaan secara berterusan
c. Usahawan dikenakan yuran bulanan dengan kadar yang munasabah dan murah. Pulangan pendapatan kepada Kraftangan Malaysia secara berterusan dan tetap.


  Contoh kedai Kraf  Akha Mountain di Chiang Rai Thailand


Cadangan ini mungkin nampak agak sukar dilaksanakan disebabkan sukar untuk  mendapatkan tanah yang berhampiran jalan utama.  Namun demikian kita kena maklum bahawa Kraftangan Malaysia mempunyai tanah sendiri yang belum dibangunkan contohnya di Sabah kita ada Tanah seluar 3 Hektar di daerah Tambunan Sabah yang dilalui oleh jalan utama Kota Kinabalu ke Tambunan dan keningau. Selain itu mungkin Kraftangan Malaysia juga mempunyai tanah di negeri lain yang tidak dibangunkan lagi.Tanah tanah ini boleh dibangunkan untuk tujuan ini.

Kos pembinaan mungkin agak tinggi tetapi pembinaan hanya sekali dan pulangan pendapatan adalah secara berterusan. Pendapatan usahawan akan tetap dan meningkat. Sewaan tapak kedai pada usahawan  pula memberikan pulangan pendapatan pada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sekurang kurangnya tidak kurang dari RM300 ribu setiap tahun sekiranya  sewaan dikenakan sebanyak RM250 sebulan untuk 100 lot kedai jualan. Sekiranya ada 14 kedai seumpama ini seluruh Negara, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia menjana pulangan pendapatan sebanyak RM4.2 juta hasil bayaran yuran daripada usahawan kraf.


3.  PEMBELIAN PRODUK USAHAWAN KRAF TERUS OLEH PERBADANAN KEMAJUAN KRAFTANGAN MALAYSIA

Saya amat tertarik dengan kaedah yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam membangunkan usahawan Pertanian, penternakan dan perikanan di bawah kendalian mereka. Pihak FAMA telah berjaya membimbing dan membangunkan ramai usahawan berjaya dengan pelbagai kaedah dan cara yang rasanya boleh diguna pakai oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Salah satu cara yang saya rasa boleh diguna pakai semula adalah konsep pembelian produk terus dari usahawan, menggumpul dan memasarkannya.

Sebagai contoh FAMA, selain membantu menyediakan ruang untuk pasaran produk usahawan di bawah mereka melalui konsep pasar tani, FAMA juga bertindak membeli produk yang dihasilkan dan memasarkan produk tersebut sendiri. Apa yang kita boleh pelajari disini ialah Kraftangan Malaysia masih boleh membantu usahawan kraf menjalankan jualan dan pasarkan produk mereka melalui program promosi yang diadakan dan pada masa yang sama  membeli terus produk usahawan kraf yang berada di kampung kampung dan memasarkan produk tersebut secara terus tanpa mengganggu perniagaan sedia ada antara usahawan yang terlibat dengan aktiviti promosi.

FAMA  juga mewujudkan Pusat Pengumpulan (CC) dan Pusat Pengedaran (DC) yang dijadikan sebagai pusat mengumpul produk bagi mengatasi masalah kekurangan produk dalam pasaran. FAMA juga mewujudkan pusat-pusat pengedaran di kawasan bandar utama yang berhampiran dengan kompleks pasar borong sedia ada. Pusat Pengedaran (DC) berperanan sebagai pusat penerimaan, tambah nilai dan seterusnya mengedarklan hasil-hasil keluaran pertanian ke rangkaian pasaraya dan institusi. Pusat pengedaran mempunyai kemudahan dan peralatan untuk urusan pembungkusan semula, penyimpanana, pemeraman dan khidmat logistik penghantaran.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia melalui Program “Strategy Business unit” pada tahun 90-an menjalankan aktiviti membeli terus produk daripada usahawan kraf dan memasarkan sendiri produk tersebut kepada pembeli melalui Syariiat Pemasaran Karyaneka. Walau bagaimanapun program ini telah diberhentikan. Sekarang, apa yang saya perhatikan kaedah pembelian, pengumpulan dan pengedaran untuk jualan terus produk kraf perlu dilakukan untuk tujuan membantu usahawan kraf interprise mikro meningkatkan nilai jualan produk mereka.

Usahawan Enterprise Mikro menjalankan perusahan secara kecil kecilan dan selalunya tidak menyertai aktiviti promosi dan jualan yang dianjurkan Kraftangan Malaysia. Aktiviti promosi yang dijalankan oleh Kraftangan Malaysia akan disertai oleh usahawan kraf  yang sama setiap kali aktiviti diadakan. Maksudnya disini adalah usahawan Enterprise Mikro yang menjalankan perusahan secara kecil kecilan hanya mengharap tempahan dan belian terus daripada pembeli yang datang ke tempat mereka. Sekiranya Kraftangan Malaysia menghidupkan semula aktiviti pembelian produk terus dari usahawan, aktiviti pengeluaran dan nilai jualan produk akan meningkat.


4. PERLUASKAN PERANAN KEDAI ANAK SYARIKAT KRAFTANGAN DI SETIAP NEGERI.

Cadangan untuk menghidupkan semula aktiviti pembelian produk kraf usahawan terus oleh Kraftangan Malaysia tidak akan berhasil dan berjaya sekiranya tidak ada outlet dan pusat pemasaran produk yang telah dibeli daripada usahawan Enterprise Mikro tadi.  Sehubungan itu disarankan agar peranan anak Syarikat Kraftangan Malaysia iaitu Karyaneka dan Kraf Holding di perluas ke setiap negeri di Malaysia.  Wujudkan cawangan jualan produk setiap negeri iaitu menjual produk yang telah dibeli dari usahawan kraf.

Sebelum ini kedai  kraf anak syarikat Kraftangan Malaysia banyak diwujudkan di lokasi yang mempunyai sewa yang agak mahal dan lokasi tumpuan untuk pengunjung berstatus tinggi. Namun demikian persepsi ini perlu diubah dengan mewujudkan ruang perniagaan anak Syarikat ini di kawasan yang mudah dikunjungi orang ramai termasuk pelancong dalam dan luar negeri.  Kedai yang dicadangkan :-


a. Wujudkan kedai kraf di pejabat cawangan negeri yang belum ada cawangan Kedai Anak Syarikat Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Setiap negeri mempunyai pejabat cawangan dan mempunyai  ruang kosong yang boleh diisi dan dijadikan sebagai kedai kraf Anak Syarikat Kraftangan. Contohnya cawangan Sabah sendiri mempunyai dua pejabat iaitu di Kota Kinabalu dan di Kota Belud. Kedua dua lokasi ini mempunyai ruang kosong yang boleh dijadikan kedai kraf Syarikat Karyaneka. Manakalah dari segi sumber tenaga kerja pula, angota kerja Kraftangan Malaysia di bawah unit Promosi dan pemuliharaan kraf di setiap cawangan boleh memainkan peranan sebagai penjual dan membantu menjaga perjalanan kedai kraf yang diwujudkan kelak. Alasanya mudah, anggota kerja kedua dua unit akan hanya sibuk atau mempunyai banyak tugasan apabila ada diadakan aktiviti Promosi dan aktiviti pendidikan kraf. Sekiranya tiada aktiviti anggota kerja kedua dua unit hanya menjalankan kerja kerja biasa di pejabat.

b. Konsep sewa bangunan kedai yang mempunyai ramai pengunjung
Contoh paling dekat di Sabah adalah kedai Kraf “KADAIKU” milik Seri Pelancungan iaitu anak syarikat Sabah Tourism Board yang diwujudkan di deretan kedai di Sinsuran Badaraya Kota Kinabalu.

Kedai ini diwujudkan di kawasan deretan kedai dan dari segi sambutan pengunjung amat menggalakan. Hanya menjual produk kraf tempatan negeri Sabah. Daripada maklumat yang diberikan kepada saya, purata pendapatan kasar setiap bulan boleh mencecah angka puluhan ribu ringgit dan boleh menampung bayaran lima (5) orang pekerja selain memperolehi keuntungan bersih yang amat menggalakan.


5. BELAJAR KAEDAH YANG DIGUNAKAN JIRAN UNTUK MENINGKATKAN JUALAN PRODUK KRAF
Kita sering menoleh kepada Indonesia apabila berhasrat untuk mengisi ruang tamu di rumah kita dengan perabot berasaskan kayu. Manakala Thailand pula menjadi pilihan apabila kita teringin memperagakan pakaian yang bertenun indah. Nama beberapa negara di Eropah turut disebut-sebut apabila kita teringat untuk menghias rumah dengan hiasan bunga kristal.  Kita seolah-olah enggan berpaling kepada hasil kraf tempatan yang mutu dan corak rekaannya jika pun tidak jauh lebih baik tetapi mampu menandingi produk-produk luar negara.
Di manakah silapnya apabila rakyat negara ini memilih hasil kraf negara lain sedangkan Malaysia kaya dengan produk kraf yang mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaannya sendiri.
Yang Berhormat Datuk Seri Mohammed Nazri Bin Abd  Aziz sendiri pada sidang media yang dipaparkan di Utusan Malaysia pada 2 Mac 2004, mengakui industri kraf tempatan berhadapan dengan cabaran paling getir untuk memastikan kewujudannya diiktiraf sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa. Beliau berkata, cabaran utama yang perlu ditangani ialah memastikan usaha mempromosi kraf tempatan dilakukan secara berterusan dan menjangkau kumpulan sasar termasuk pelancong. Katanya, promosi tanpa henti melibatkan perbelanjaan yang tinggi dan kerjasama pelbagai pihak supaya produk-produk yang diperkenalkan setanding dengan produk kraf luar negara. Menurutnya, industri kraf memerlukan inovasi atau idea baru dalam semua aspek untuk menghasilkan produk serta perkhidmatan yang berkualiti. Perubahan tersebut boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti pengenalan teknologi baru, perubahan proses pembuatan yang boleh menjimatkan tenaga, masa dan kos serta strategi pemasaran yang mantap bagi meningkatkan kualiti penghasilan produk kraf dan seterusnya memasarkannya dalam pasaran terbuka.
Di persada antarabangsa kraf tangan Malaysia telah meneroka pasaran di Asia Barat, Eropah, Jepun dan Hong Kong. Namun nilai jualan dan tempahan produk kita di peringkat antarabangsa masih kurang memberangsangkan. Sehubungan itu kajian demi kajian dibuat dan dilaksanakan dan penyertaan diperingkat antarabangsa masih dilaksanakan sehingga kini. Pencapaian dan peningkatan jelas menunjukkan ada pencapaian yang agak baik  walaupun sedikit.  Kita mahukan lebih dari apa yang kita perolehi sekarang. Caranya adalah kita belajar daripada negara yang telah berjaya ini apakah resepi kejayaan mereka mengangkat produk kraf negara mereka meninggalkan Malaysia jauh ke belakang.
Dalam kes ini saya mengambil contoh negara Indonesia. Mengikut bacaan dan penelitian yang saya buat mendapati terdapat emapt (4) jenis produk Kraftangan dengan berlainan bahan yang amat terkenal di Indonesia dan telah menembusi pasaran antarabangsa sebagai salah satu sumber ekonomi yang memberi nilai pulangan kepada negara ini.
i. Produk perabot ukiran kayu
ii. Kain Batik
iii. Anyaman Bambu & Rotan
iv. Batu dan Logam
Produk Indonesia ini amat laris adalah disebabkan harga produk yang dihasilkan amat murah dan kualiti yang agak baik terutama dalam bidang ukiran kayu.  Kita mungkin tidak mampu menandingi harga produk yang dihasilkan disebabkan kos upah adalah murah berbanding di negara kita. tetapi isunya disini dan yang paling menarik perhatian bagaimana negara Indonesia tonjolkan produk mereka ini terkenal di mata dunia?.Harga produk yang murah bukan penentu semata mata tetapi adalah disebabkan usaha berterusan Indonesia memperkenalkan produk mereka di mata dunia. Salah satu usaha yang digunakan seperti dalam artikel online “Merdeka.com” Indonesia pada 21 April 2016 adalah dengan  membawa pembeli dari luar negara ke Indonesia.  Beberapa cara lain juga diberikan antaranya ialah :
i. Kepekaan terhadap keinginan atau permintaan pasaran luar
ii. Jangan bangga mengatakan produk kita terbaik tetapi hendaklah melihat kepada permintaan pembeli
iii. pelaku industri kraftangan harus menguasai tiga hal, iaitu kualiti produk, harga produk dan waktu penghantaran produk.
Di Malaysia, apakah produk yang kita boleh tonjolkan di peringkat antarabangsa?. Indonesia telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan lima (4) jenis produk dengan bahan yang berlainan. Kita cari formula ini dengan memperkenalkan satu (1) produk dahulu yang kita boleh ketengahkan. Sekiranya berjaya kita tambah lagi dengan produk kraf yang lain dan begitulah seterusnya sehingga kita benar benar berjaya sebagaimana negara yang sudah berjaya. Sehubungan itu saya mencadangkan agar kajian oleh Bahagian Pembangunan Industri kraf melalui unit Promosi antarabangsa perlu dibuat secara berterusan mencari ilmu dan belajar daripada negara yang telah berjaya ini usaha usaha untuk terus meningkatkan aktiviti  mempromosikan produk Malaysia di luar negara.

6. MEMPERKASAKAN USAHAWAN PENIAGA KRAF (TRADERS)

Pengusaha atau pembuat kraf terutama di bawah kategori Enterprise Mikro selalunya akan kekal sebagai pengusaha dan menghasilkan produk. Aktiviti jualan produk banyak tertumpu di kawasan bengkel pengeluaran dan tidak akan bergerak jauh keluar kawasan dimana mereka menghasilkan produk. Analisa yang saya buat terhadap pengusaha Enterprise Mikro di negeri Sabah menunjukkan situasi ini tepat. Saya mengambil analisa dan contoh nilai jualan usahawan kraf Sabah di bawah program Enterprise Mikro. Purata pendapatan usahawan kraf di bawah kategori Enterprise Mikro akan kekal dari bulan Januari hingga Disember pada tahun yang berkenaan. Contoh di Sabah purata nilai jualan produk hasil rimba usahawan dalam kategori ini pada tahun 2014 dan tahun 2015 adalah dalam RM 1500 hingga RM2,000  sebulan. Tidak berlaku peningkatan hampir pada semua usahawan.

Walau bagaimanapun bagi pengusaha kraf yang mengusahakan pembuatan produk dan juga menjual produk mereka melalui aktiviti promosi atau sebagainya nilai pendapatan berubah dari masa kesemasa.  Sehubungan itu saya mencadangkan agar usahawan yang aktif menyertai program promosi dan jualan yang danjurkan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia atau mana mana agensi ini perlu dibantu untuk menjadi lebih perkasa dan boleh membantu pengusaha kraf lain. Maksudnya disini ialah usahawan dalam kategori ini perlu dibantu dalam apa cara sekalipun untuk lebih maju kehadapan dan seterusnya apabila dia telah berjaya, tempias kejayaan pasti akan dikongsi dengan pengusaha kraf lain terutama pengusaha dalam kategori Enterprise Mikro. Caranya adalah dengan menjadi pengusaha yang berkeupayaan menjual produk dalam kuantiti yang banyak dan seterusnya memperolehi produk dengan belian daripada usahawan kategori Enterprise Mikro tadi.

Dari apa yang saya perhatikan, pelbagai usaha telah dibuat dan aktiviti untuk membantu usahawan kraf tapi keupayaan usahawan yang dibantu masih ditahap lama. Walaupun ada yang berjaya tetapi kuantitinya amat kurang. Pelbagai bantuan diberi seperti orientasi pengeluaran produk, bantuan prasarana bangunan dan mesin, rekaan produk dan pelbagai lagi tetapi apa yang kita capai kita boleh lihat sendiri.Nilai jualan masih kekal tahap lama seperti tahun tahun sebelum ini.

Sehubungan itu saya mencadangkan agar fokus bantuan di tambah dengan memasukan pembangunan usahawan kraf di bawah kategori peniaga kraf. Usahawan dalam kategori ini sahaja yang boleh dan berkeupayaan bergerak jauh untuk membangunkan nilai jualan produk kraf kerana mentaliti dan pemikiran mereka memang telah ditetapkan untuk berniaga dan meningkatkan pendapatan. Semakin jauh mereka bergerak dan semakin meningkatnya perniagaan maka akan meningkatlah permintaan produk kraf untuk diniagakan. Putaran permintaan kraf akan beroperasi iaitu pengusaha enterprise mikro atau usahawan kraf luar bandar dan kecil kecilan akan terus mendapat manfaat tempahan berterusan dan usahawan perniaga pula akan terus mendapat hasil produk secara berterusan dan perniagaan produk kraf akan semakin rancak dalam pasaran.


7. MENINGKATKAN JUALAN PRODUK USAHAWAN KRAF SABAH DAN SARAWAK MELALUI PENAMBAHAN AKTIVITI DAN PROGRAM PROMOSI DI KEDUA DUA NEGERI.

Seperti kita sedia maklum, usahawan kraf kedua dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak adalah sangat ramai tetapi nilai jualan kraf adalah antara yang terendah di Malaysia. Berbanding pengusaha kraf di Semenanjung nilai jualan agak memberangsangkan. Dengan purata jumlah usahawan yang paling ramai sepatutnya kedua dua negeri adalah penyumbang utama nilai jualan keseluruhan negara.

Sepanjang tahun Perbadanan Kemajuan mengadakan banyak program Promosi di peringkat negeri di Seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak. Namun keupayaan usahawan kedua dua negeri untuk menyertai semua program promosi yang dianjurkan dalam negara amat terhad disebabkan jarak dan lokasi terutama program promosi di Semenanjung Malaysia. Usahawan kraf di Semenanjung Malaysia boleh bergerak dengan mudah hanya dengan menaiki kenderaan darat untuk bergerak dan menyertai semua program promosi yang diadakan samaada di peringkat nasional atau cawangan negeri.  Usahawan kraf Sabah dan Sarawak pula penyertaan mereka dalam aktiviti promosi kraf hanya dalam negeri sahaja. Faktor ini adalah salah satu sebab kenapa jualan produk usahawan kedua dua negeri agak rendah dan agak sukar untuk bertambah.

Sehubungan itu saya mencadangkan sekiranya ada peruntukan pada masa akan datang, aktiviti promosi kraf kedua dua negeri ini amat perlu ditambah dan diperluaskan. Ini cara dan peluang yang boleh digunakan oleh usahawan kraf kedua dua negeri memasar, menjual dan memperkenalkan produk mereka. Bertambahnya aktiviti promosi maka akan bertambahla nilai jualan produk kraf usahawan kedua dua negeri.



8. KERJASAMA DENGAN AGENSI KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN NEGERI, DAN PERSATUAN BUKAN KERAJAAN (NGO) YANG TERDAPAT DI NEGERI – NEGERI DALAM MALAYSIA MELALUI PROGRAM “ MALAYSIA’S NATIONAL BLUE OCEAN STRATEGY (NBOS).

Penstrukturan semula perbelanjaan kerajaan menyebabkan banyak program yang dirancang tidak dapat dilaksanakan. Walau bagaimanapun isu ini tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada pelaksanaan aktiviti yang boleh memberi pulangan pendapatan kepada usahawan kraf.  Kerjasama NBOS merupakan salah satu kaedah yang boleh dipraktik dan diguna pakai pada masa sekarang.Perkongsian perbelanjaan atau kepakaran dan kemahiran antara agensi negeri dan persekutuan dan pihak NGO adalah cara yang terbaik.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di peringkat Ibu Pejabat dan negeri sudah melaksanakan kerjasama seumpama ini. Perkara ini jelas apabila banyak aktiviti Promosi jualan kraf dapat diadakan di seluruh negeri walaupun tanpa ada peruntukan yang diberikan. Sehubungan itu saya mencadangkan agar aktiviti NBOS ini diperkasa dan diperluaskan dengan kerjasama yang lebih erat dan akrab dengan agensi yang boleh memberi kerjasama dan memberi pulangan pendapatan kepada usahawan kraf seluruh negara.

Lembaga Pemasaran Pertanian Pesekutuan (FAMA) sebagai contoh yang menyediakan banyak kemudahan kepada usahawan di bawah bimbingan mereka untuk menjalankan perniagaan secara beterusan seperti berikut :
i. Penyediaan ruang jualan seperti Pasar Tani. Pasar tani pula dipecahkan kepada beberapa jenis lagi iaitu Pasar Tani, Pasar Tani Borong, Pasar Tani Mega, Karavan Tani, Pasar Tani Kekal dan Pasar  Tani Desaraya.
ii. Program Keusahawan gerai buah buahan
iii. Program keusahawan Agrobazar
iv. Pasar Komuniti dan Kravaan
v. Gerai di Pusat Tranformasi Luar Bandar
Program yang sama dan hampir serupa diberikan oleh agensi kerajaan Persekutuan yang lain seperti Malis Amanah Rakyat (MARA), Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dan beberapa agensi kerajaan yang lain. Diperingkat negeri pula terdapat agensi kerajaan atau NGO yang turut berperanan menyediakan ruang jualan seumpama ini kepada usahawan mereka.

Cadangan saya disini adalah, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Ibu Pejabat perlu menjadi pelopor untuk bekerjasama dengan agensi  ini supaya usahawan kraf di seluruh negara dapat menyertai program jualan sepanjang tahun. Banyak ruang perniagaan disediakan oleh kerajaan melalui agensi yang berkenaan tetapi tiada peluang untuk usahawan kraf menyertainya. Melalui kerjasama yang diadakan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dengan agensi berkenaan samada secara “Memorandum of understanding ” atau MOU, usahawan kraf akan sentiasa mendapat peluang menjalankan perniagaan.

Kesimpulannya, usaha berterusan amat perlu untuk terus meningkatkan nilai jualan produk kraf Malaysia. Meningkatnya nilai jualan kraf bermakna meningkatlah hasil pendapatan usahawan kraf.  Kita berharap industri kraf akan terus berkembang seiring dengan perkembangan industri lain yang ada dalam negara dan tugas kita adalah berusaha untuk memastikan Kraftangan Malaysia masih relevan pada masa akan datang dan matlamat membangunkan usahawan kraf


No comments:

Post a Comment