Thursday, September 28, 2017

ANYAMAN BULUH PRODUK KRAF SABAH



Buluh merupakan salah satu spesis rumput, sama seperti lalang, jagung dan padi. Buluh yang kadang-kadang disebut bambu atau aur, tumbuh dan membiak dengan mudah di kebanyakan kawasan tropika dan subtropika. Di negara kita terdapat berbagai-bagai jenis buluh. Antaranya buluh akar, buluh batu/tumpat, buluh betung, buluh cina, buluh duri, buluh gading, buluh kasap, buluh minyak/padang, buluh peleting, buluh perindu dan buluh sembilang.


Bagi masyarakat peribumi di nusantara, buluh mempunyai seribu satu kegunaan iaitu sebagai baur kail atau joran, baur panah, bekas membakar lemang, bilah kipas, bilah serkap, galah, pagar, ranting dan batang payung, rakit, sangkak, seligi, sigai, sudip, tabung, tuar, tukil dan sebagainya. Hasil anyaman buluh pula termasuk bakul, dulang, nyiru dan tudung saji. Jenis buluh yang biasa ialah buluh akar, buluh betung, buluh minyak dan buluh gading.

Memproses Bahan

Hanya buluh yang sudah cukup tua digunakan dalam kerja kraftangan. Buluh yang dipilih dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki. Berikut adalah langkah memproses buluh :

Merendam

Mengikut cara tradisional, buluh yang siap dipotong itu kemudian direndam di dalam air asam dan air selut selama seminggu. Tetapi kini cara yang lebih mudah digunakan ialah buluh itu direbus bersama campuran soda. Proses ini bertujuan mengeluarkan kandungan gula yang terdapat di dalam buluh, supaya tidak dimakan bubuk dan tahan lebih lama. Dari segi rupa pula, buluh yang telah direndam sedemikian dianggap lebih cantik dan menarik walaupun berbau masam.

Menyalai

Selepas direndam dan direbus, buluh disalai atau diperasap hingga kering. Kemudian buluh dibelah, disepat (memisahkan kulit daripada isi batang pokok) dan diraut. Kedua-dua kulit dan isi batang yang diraut menjadi bilah boleh digunakan dalam anyaman. Bilah bahagian kulit buluh lebih keras dan sukar dilenturkan jika dibandingkan dengan bilah isi. Oleh itu, bilah bahagian kulit lebih sesuai dijadikan rangka atau tulang hasil kraftangan. Dalam pembuatan nyiru, misalnya, bilah kulit dijadikan bingkai untuk anyaman bilah isi.


ANYAMAN BULUH NEGERI SABAH

Produk kraf berasaskan buluh merupakan produk kraftangan yang paling banyak dihasilkan di negeri Sabah.  Ini disebabkan terdapat banyak pokok buluh di negeri ini terutamanya di kawasan pedalaman Sabah iaitu di daerah Tambunan, Keningau dan Tenom.  Buluh amat berfungsi dalam budaya dan kesenian etnik tempatan seperti Kadazan, Dusun, Lundayeh, Murut, Rungus dan sebagainya.  Kegunaan buluh yang terawal adalah sebagai keperluan harian sahaja.  Kini penggunaannya telah dipelbagaikan dengan penghasilan produk mengikut daya kreatif pembuatnya.

Buluh yang dipotong akan dibelah dan diraut sehingga menjadi bilah-bilah halus.  Ianya kemudian diwarnakan dan dianyam membentuk motif-motif  produk kraftangan yang halus dan menarik.  Antara produk yang dihasilkan daripada buluh ialah bakul “wakid”,  bakul “takinan”, beg “kappa”, bubu, dulang, bakul buah, alas pinggan dan sebagainya.


 Peralatan yang digunakan


Proses Membuat Produk Anyaman Buluh



Contoh Aktiviti Pembuatan Produk Buluh



Contoh Produk Yang Dihasilkan







No comments:

Post a Comment