Thursday, September 28, 2017

ADIGURU KRAF TENUNAN MUGAH HAJAH SABNAH BTE DULLAH




ADIGURU KRAF TENUNAN MUGAH

Sabnah binti Dullah merupakan penenun kain mugah yang amat disegani. Beliau dilahirkan pada tahun 1945 di Kampung Merabau, Kota Belud, Sabah dan dibesarkan dalam keluarga yang mahir menenun. Sejak berusia 10 tahun, beliau diajar menenun oleh ibu dan neneknya. Berbekalkan kemahiran menenun ini, beliau menyara enam orang adik-beradik selepas kedua ibu bapanya meninggal dunia.

Setiap helai kain tenun mugah yang beliau hasilkan dihiasi dengan reka corak yang tersendiri. Alam semulajadi seperti flora fauna, corak-corak geometrik dan unsur kosmos diadun menjadi reka corak kain tenunan beliau. Antara reka corak yang dihasilkan seperti Anunon, Tuara, Bakaki, Bunga Emas, Tialali, Lincu, Siku Keluang dan Sunding yang kemudiannya menjadi ikutan penenun-penenun kain mugah di sekitar Kampung Merabau.

Kepakaran Sabnah dalam menghasilkan kain tenun mugah telah menempatkan beliau sebagai salah seorang penenun kain mugah yang handal dan disegani terutama di sekitar Kota Belud. Bagi memastikan seni kemahiran tangan ini tidak pupus, beliau memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada penenun-penenun muda di sekitar Kampung Merabau. Kegigihan dan kepakaran beliau ini dijejaki oleh Kraftangan Malaysia dan telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenun Mugah pada tahun 2002.

KEPIMPINAN DAN KETOKOHAN


Puan Sabnah Dullah menetap di Kampung Merabau, Kota Belud Sabah bersama keluarga sejak turun temurun. Beliau yang berketurunan Irranun ini memang terkenal dengan kemahiran menenun. Keunikannya mereka menghasilkan tenunan untuk kegunaan suku kaum lain seperti Bajau dan Dusun. Beliau mewarisi kemahiran menenun kain Mugah daripada ibunya Puan Hamidah Adoi. Ketika masih kecil, ayahnya telah meninggal dunia dan disebabkan hal demikian beliau membantu ibunya menenun untuk menyara 6 orang adik beradiknya masih kecil. Beliau membantu ibunya menenun dan kemudian menjual hasil Tenunan Mugah di Pasar Tamu.

Apabila ibunya meninggal dunia Puan Sabnah pula mengambil alih menyara adik beradiknya yang masih kecil dan 3 orang anak saudaranya yang yatim piatu.

Berkat kesabaran dan ketabahannya, beliau menjadi penenun yang disegani. Walaupun tidak mendapat pendidikan formal, beliau mampu menghasilkan reka corak tenun yang unik dan indah berasaskan alam semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan dan geometri.

Perwatakan beliau yang sederhana, penyabar, cekal, tekun serta merendah diri menyebabkan beliau disenangi dan mudah didampingi. Beliau mengajar anak tempatan yang berminat dalam seni tenunan di sebuah bengkel tenunan.

Ciri-ciri keperibadian yang dimilikinya telah meletakkan beliau sebagai penenun kain tradisional yang mahir dan berjaya menghasilkan kain Tenunan Mugah yang berkualiti serta diperakui mutunya.


DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Kain tenun Mugah ini dipakai oleh orang lelaki dari suku kaum Dusun terutama dalam majlis rasmi, upacara adat, keagamaan, pesta dan perkahwinan.

Beliau berkemahiran menghasilkan reka corak dan motif yang berunsurkan alam. Di antara reka corak yang dihasilkan kalingguon, Anunon, Tuara, Bakaki, Bunga Emas, Tialali, Lincu, Siku Keluang dan Sunding.

Reka corak yang dihasilkan ini disesuaikan dengan kehendak dan adat budaya suku kaum Dusun yang menggunakannya.

Selain daripada menenun kain Mugah, beliau berkemahiran juga menenun kain baraguru, kain ampik, kain tapak sila dan kain dastar. Beliau juga mahir menganyam tikar pandan.


PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN



Penglibatannya dalam menceburi bidang seni Tenunan Mugah telah berjaya menaikkan nama beliau di kalangan masyarakat setempat, orang luar dan pencinta seni. Beliau turut melatih beberapa orang anggota kerja dari Kraftangan Malaysia.

Kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh Puan Sabnah sekali lagi mendapat kepercayaan dari Kraftangan Malaysia. Beliau telah dilantik sebagai jurutunjuk kepada penenun tempatan dalam program Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

Beliau turut mengajar masyarakat setempat teknik menenun kain Mugah dan lain-lain tenunan tradisional Sabah sama ada di rumah atau di bengkelnya. Tujuannya agar seni Tenunan Mugah ini akan diwarisi oleh generasi seterusnya secara tidak langsung dapat menyelamatkan seni warisan ini dari pupus begitu sahaja.

SUMBANGAN

Walaupun tidak banyak melibatkan diri dalam sebarang pertandingan ataupun aktiviti-aktiviti lain tetapi beliau tetap dikenali sebagai salah seorang penenun yang mahir.


Bagi menghargai jasa beliau maka Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenun Mugah tahun 2000.

No comments:

Post a Comment