Wednesday, September 27, 2017

ADIGURU KRAF SABAH HAJAH PANDIAN SULAIMAN




Tokoh Adiguru Kraf Sabah Hajah Pandian Sulaiman

Tenunan Sambitan Kota Belud Sabah

Sejak dari dahulu lagi masyarakat Irranun yang menetap di sekitar Kota Belud mahir dalam menghasilkan pelbagai kerja tangan seperti menenun, menyulam dan bermain alat muzik. Uniknya hasil kerja tangan masyarakat Irranun ini bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi juga untuk memenuhi keperluan suku kaum lain seperti orang Bajau dan orang Dusun. Kampung Rampayan Laut yang terletak lebih kurang 30 km dari pekan Kota Belud, antara perkampungan kaum Irranun yang terkenal dengan hasil tenunan sambitan.

Salah seorang penenun sambitan yang terkenal iaitu Hajah Pandian binti Haji Sulaiman dan beliau di antara tokoh tenunan sambitan yang disegani di sana. Dilahirkan pada 17 April 1950, beliau telah mula belajar menenun daripada nenek dan ibunya ketika masih usia kanak-kanak. Ketika itu anak-anak perempuan diajar dengan pelbagai seni kemahiran seperti menjahit, menenun, menganyam dan semua yang berkaitan dengan urusan rumah tangga. Selain daripada menenun, Hajah Pandian mahir menganyam tikar berhias (tipo selisir), menyulam manik dan langkit. Isteri dan ibu kepada tujuh orang anak ini memanfaatkan bakat dan kreativiti yang dipelajari bagi membantu menampung pendapatan keluarga. Setiap hujung minggu beliau membawa hasil kerja tangan ke pasar tamu di pekan Kota Belud untuk diniagakan. Bagi memastikan seni kemahiran yang menjadi kebanggaan kaum Irranun ini terus berkembang, Hajah Pandian memberikan latihan dan bimbingan menenun kepada remaja lepasan sekolah yang tinggal berhampiran dengan rumah beliau. Rumah beliau dijadikan sebagai bengkel melatih penenun muda yang berminat. Usaha murni beliau ini mendapat perhatian dari pihak kerajaan.

Hajah Pandian juga sentiasa dijemput untuk mengadakan demonstrasi dan menyertai pameran di Sabah dan Kuala Lumpur. Kehebatan beliau menenun turut mendapat liputan pihak media. Bagi menghargai sumbangan besar Hajah Pandian binti Sulaiman dalam tenunan sambitan, pada tahun 2006 Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenunan Sambitan


Pengalaman, Penglibatan dan Pencapaian Adiguru Pandian

Kemahiran Puan Pandian ini telah Berjaya menaikkan namanya sebagai penenun kain sambitan yang disegani.

Beliau mengusahakan Tenunan Sambhitan agar tenunan ini tidak akan pupus oleh arus pemodenan.

Puan Pandian mereka corak tenunan sambitan melalui kreativitinya sendiri yang diilhamkan daripada alam semulajadi.




Antara motif-motif yang digunakan oleh beliau ialah motif bunga kapas, tuara, kelinguan, sumpinga kundur dan unsud.

Penggunaan motif-motif ini adalah berkisar kepada kehidupan masyarakat Irranun seharian.

Ketajaman kreativiti beliau menggunakan tumbuhan semula jadi sebagai corak tenunan sambitan merupakan satu keunikkan walaupun beliau tidak pernah mendapat pendidikan secara formal.

Beliau tidak banyak terlibat dengan pameran dan ekspo. Walaubagaimanapun, beliau pernah membuat demo di Muzium Negeri Sabah dalam pertengahan tahun 90an.

Beliau dilantik sebagai Adiguru Kraf Sambitan pada tahun 2006 oleh Kraftangan Malaysia sebagai menghargai usaha beliau mengembangkan seni warisan masyarakat Sabah.

Puan Pandian Sulaiman memainkan peranan dalam usaha mengekalkan seni tenunan terutamanya tenunan Sambitan dengan memberikan pengajaran kepada anak perempuannya, penduduk-penduduk setempat dan orang luar.


No comments:

Post a Comment