Thursday, September 28, 2017

ADIGURU KRAF TENUNAN RUNGUS PUAN RUBANGKI MABOK


Puan Rubangki Binti Mabok berasal dari Kampung Guoman, Kudat. Memiliki Kemahiran Tenunan Asli Rungus sejak kecil melalui warisan orang tuanya. Ketika berusia 12 tahun beliau sudah pandai memproses benang secara tradisional yang diperbuat daripada kapas dan boleh menenun pakaian tradisi suku kaum Rungus iaitu yang dinamakan pakaian Rungus atau tenunan Rungus.
Walaupun menenun merupakan aktiviti sambilan namun masa terluangnya lebih banyak diisi dengan kerja-kerja menenun. Beliau menerima tempahan yang datang dari pelbagai masyarakat sama ada dari kaum Rungus sendiri atau lain-lain keturunan, tempahan individu atau jabatan-jabatan seperti Jabatan Kebudayaan, Pelancongan, Muzium, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan agensi-agensi lain yang berkenaan.

Rumah kediamannya adalah merupakan bengkel tetap, di situ tersedia segala peralatan menenun seperti key tenunan, tempat proses benang dan peralatan lain yang diperlukan. Beliau sentiasa bersama dengan alat tenunannya dan mengumpul produk hasil tenunan dari masa ke semasa.
Bertitik dari minat dan usahanya dalam bidang kraf telah mendapat peghargaan daripada pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Pada tahun 1990, telah dianugerahkan Adiguru Kraf Tenunan Rungus. Beliau juga sering mendapat undangan untuk demonstrasi tenunan Rugus dalam sesuatu sambutan peringkat kebangsaan atau peringkat negeri. Walaupun Puan Rubangki tidak boleh menulis dan membaca namun kemahiran dan kesungguhan beliau boleh mengetengahkan kemahiran seni tenun untuk dimanfaatkan kepada generasi kini khususnya dalam sumbangan memartabatkan kebudayaan masyarakat Sabah.

Dilahirkan pada tahun 1941 di Kampung Guamon, Kudat, Sabah. Beliau dibesarkan dalam keluarga petani dan mempelajari kemahiran menenun daripada ibunya sejak remaja lagi. Asal kapas menjadi benang, dari benang ditenun dibuat kain, begitulah bidalan yang dipraktikkan oleh Rubangki dalam usaha meneruskan kegiatan menenun kain Rungus ini. Beliau memintal dan menghasilkan sendiri benang untuk kerja-kerja menenun. Pokok kapas yang hidup subur di sekitar kampung beliau ketika itu menjadi sumber utama untuk mendapatkan benang.

Setelah berkahwin, Rubangki terus melakukan kerja-kerja menenun bagi membantu menambah pendapatan keluarga. Suami beliau banyak membantu mengutip kapas-kapas dan kemudian dibawa pulang untuk diproses dan dipintal menjadi benang. Sebelum warna sintetik diperkenalkan, Puan Rubangki menggunakan bahan semula jadi untuk mewarna benang. Kesungguhan beliau mengusahakan tenun ini menjadi contoh kepada penduduk setempat. Kain tenunan Rungus biasanya dijadikan pakaian yang dilengkapi dengan hiasan lain seperti selendang atau manik-manik. Ia dipakai semasa majlis perayaan, perkahwinan atau upacara-upacara adat yang disambut oleh suku kaum Rungus.

Dalam memastikan seni warisan ini terus berkembang, beliau menurunkan kemahiran menenun kain Rungus ini kepada anak perempuan beliau sendiri dan juga penenun-penenun muda di sekitar Kudat. Bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau mengembangkan seni tenunan Rungus, pada tahun 1990 Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenunan Rungus.

Ketokohan, Kreativiti, Pengalaman dan Sumbangan Puan Rubangki dalam Kraf Tenunan Asli Sabah (Rungus)


Puan Rubangki dilahirkan dalam keluarga yang mahir menghasilkan Tenunan Rungus. Ibunya merupakan seorang penenun kain tradisi masyarakat Rungus yang terkenal dan telah mendidik beliau sejak kecil lagi dalam bidang kemahiran ini.

Walaupun tidak pernah mendapat pendidikan formal, kreativiti dan kesungguhan beliau dalam mengusahakan Tenunan Rungus telah meletakkan beliau di antara penenun kain tradisi Sabah yang disegani.

Beliau berkemahiran membuat rekaan motif sendiri untuk kain-kain yang ditenun. Setiap motif dan reka corak Puan Rubangki berdasarkan alam semulajadi terutamanya tumbuh-tumbuhan dan binatang.

Proses menghasilkan rekaan bermula apabila beliau duduk menenun. Beliau melakar reka corak dan motif melalui imaginasi yang kemudian digambarkan terus melalui benang-benang yang ditenun.

Keistimewaan tenunan beliau terletak pada aspek kehalusan dan kepelbagaian reka corak. Reka corak ini diwarisi daripada ibunya secara turun temurun dan ia tersimpan dalam pemikiran beliau (tidak dicatat atau dilakar di dalam buku).

Antara motif-motif yang memperlihatkan identiti kain tenunan Puan Rubangki seperti motif kinodut-kodut (motif kena cubit), binugang (burung), inugarang (biawak kecil), kinulit (kulit kayu) linapung (ular sawa) dan mansimong (hantu).

Secara tradisi, untuk menghasilkan sehelai kain rungus, Puan Rubangki perlu menyediakan benang untuk ditenun. Puan Rubangki mengutip kapas yang ditanam dan kemudian dipintal menjadi benang. Benang-benang ini kemudiannya diwarna menggunakan warna semulajadi yang diperolehi dari daun tarum, kulit kayu sepang dan kunyit.

Tenun rungus biasanya dijadikan sebagai pakaian lelaki dan wanita rungus terutama semasa ketika menyambut acara keagamaan, perayaan, dan majlis perkahwinan.


Beliau juga mahir menghasilkan Tenunan Mugah yang terkenal dari suku kaum Irranun di Sabah.

·       Pameran dan demonstrasi sempena Pesta Keamatan di Kota Kinabalu, Sabah.
·       Pameran dan Promosi sempena Fiesta Muzium Sabah
·       Pameran di Universiti Sabah Malaysai.

Beliau turut menyumbang jasa dalam mengekal seni tenunan ini. Beliau memberi tunjuk ajar kepada penduduk setempat dan juga individu yang berminat


Diiktiraf sebagai Adiguru Kraf Tenun Rungus pada tahun 1990 atas sumbangan dan kecemerlangan beliau dalam bidang tenunan Rungus.

No comments:

Post a Comment